860 lot rumah akan disediakan di Silviculture Batu 11 Jln Oya

0

KUCHING: Dianggarkan 860 lot rumah akan disediakan di Silviculture Batu 11 Jalan Oya Sibu, kata Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Bagaimanapun, jelas beliau memandangkan projek tersebut masih dalam peringkat perancangan awal, kriteria khusus untuk pemilihan penduduk yang akan mendapat lot di kawasan itu belum diputus-kan lagi.

“Namun, keutamaan akan diberi kepada penduduk Kampung Datu dan juga keluarga tambahan tertakluk kepada garis panduan yang akan kami rangka nanti,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.

Beliau menyatakan demikian bagi menjawab soalan daripada Dr Annuar Rapa’ee (BN-Nangka) mengenai bila perkampungan moden yang akan diwujudkan di Silviculture Batu 11 Jalan Oya Sibu akan mula dibina serta kriteria pemilihan untuk penduduk mendapat lot.

Terdahulu, Karim yang juga ADUN Asajaya menjelaskan  bahawa pihak LCDA sedang menyediakan pelan susun atur untuk dikemukakan kepada Majlis Perancangan Negeri untuk kelulusan.

Tambah beliau, projek tersebut akan mula dilaksanakan dalam RMK-11 (2016-2020) iaitu tertakluk kepada peruntukan yang diluluskan.

Sementara berhubung status Rumah Mesra Rakyat (RMR) di daerah Mukah dan daerah kecil Balingian, Karim berkata sebanyak 75 unit RMR telah siap dibina di daerah Mukah iaitu 27 unit di Skim Pembesaran Kampung Petanak dan 48 unit di Skim Pembesaran Kampung Nelayan.

Menjawab soalan tersebut daripada Yussibnosh Balo (BN-Balingian) Karim menambah, sebanyak 28 unit lagi sedia untuk dibina iaitu lapan unit di Skim Pembesaran Kampung Nelayan, Mukah dan 20 unit di Skim Pembesaran Kampung Balingian.

Katanya pembinaan 28 unit tersebut akan dijalankan setelah menerima pengesahan peruntukan pembinaan rumah daripada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).