Rumah panjang Bidayuh-Muslim banyak keunikan

0

LEBIH BAIK: Penempatan semula rumah panjang Bidayuh-Muslim di kawasan tengah Kampung Darul Islam Belimbing.

Oleh Henrietta Liza //

KAMPUNG Darul Islam Belimbing merupakan penempatan rumah panjang Bidayuh-Muslim yang pertama dalam kawasan tanah tinggi Puncak Borneo yang menyimpan pelbagai keunikan dan sejarah yang mungkin belum diterokai ramai.

Perkampungan yang indah itu terletak lebih kurang  60 kilometer dari Kuching yang boleh ditelusuri melalui jalan Puncak Borneo atau jalan lama Padawan menggunakan kenderaan peribadi.

Ketika wartawan menemui Ketua Kaum Kampung Darul Islam Belimbing, Hussain Banyak untuk mencungkil lebih banyak rahsia mengenai kampung berkenaan, beliau memberitahu kampung berkenaan berusia 35 tahun walaupun penempatan semula dimulakan pada tahun 1968.

Kampung itu yang dipercayai dinamakan sebagai Kampung Grumbing sebelum ini (belimbing dalam bahasa Bidayuh) ditukar nama kepada Kampung Darul Islam Belimbing dan nama tersebut masih digunakan sehingga hari ini.

Keturunan penduduk di kampung itu bermula dari kaki gunung berdekatan dengan tapak kampung sekarang yang dinamakan Kampung Grumbing (Belimbing) pada tahun 1963.

Menurut Hussein, Kampung Kawa Belimbing pula yang terletak bersebelahan dengan Kampung Darul Islam Belimbing merupakan sebahagian daripada kampung itu namun majoriti penduduknya merupakan penganut Kristian.

Perkongsian beliau mengenai kampung halaman tercintanya itu bermula  apabila ramai daripada kalangan pelancong yang terdiri daripada pelajar-pelajar Insitusi Pengajian Tinggi (IPT) seperti UNIMAS, UiTM, UUM selain warga asing dari Jerman, Singapura dan Britain yang ingin mengetahui tentang kehidupan penduduk kampung.

Beliau ternyata bangga dengan kampungnya kerana ramai pelancong yang datang untuk menikmati makanan tradisional Bidayuh, mengenali tarian kebudayaan suku kaum Bidayuh (sambut rombongan ‘mandung’), menyertai ‘jungle tracking’ dan lumba perahu.

Untuk menampung permintaan pelancong, penduduk kampung telah menubuhkan sebanyak 22 inap desa bermula pada harga RM65 (bersama makanan) semalam tidak termasuk pakej aktiviti yang ingin dianjurkan pelawat.

Kata beliau, mereka yang beragama Islam tidak akan berasa gusar dan khuatir untuk melawat perkampungan tersebut.

Ketika ditemu bual, Hussein memberitahu terdapat seramai 699 orang penduduk mendiami kampung itu dengan 88 buah rumah, iaitu 40 buah rumah panjang di bawah program penempatan semula (sejak 1968) dan rumah individu sebanyak 48 buah.

Kampung itu menyambut hari ulang tahun penghijrahan penduduknya pada setiap bulan Mei.

Satu lagi tarikan di kawasan Kampung Darul Islam Belimbing ialah bunga raflesia di Gunung Sporm dengan ketinggian 400 kaki dari paras laut yang juga merupakan hutan asli. Terdapat juga dusun di kawasan celah-celah gunung tersebut hasil peninggalan nenek-moyang penduduk di kampung berkenaan.

Masyarakat di kampung berkenaan rata-ratanya penjawat awam iaitu sebanyak 45 peratus, pekerja swasta 38 peratus dan selebihnya bekerja sendiri serta bercucuk tanam dilakukan sebagai usaha sampingan.

“Mereka yang bekerja sebagai petani dengan FELCRA sebagai contoh, bekerja pada waktu pagi dan pulang tengah hari dan mengusahakan kebun sendiri untuk menambah sumber pendapatan keluarga,” katanya.

Koperasi Besta Rancangan FELCRA Berhad Belimbing turut ditubuhkan dan berjaya memberi peluang pekerjaan kepada penduduk kampung.

Kampung tersebut juga dilengkapi kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan perhubungan jalan raya yang baik tetapi mereka memohon agar Kementerian Pembangunan Luar Bandar meluluskan permohonan WiFi sejauh 500 meter di kampung itu.

Hussein berkata, pihaknya masih menunggu surat maklum balas daripada kerajaan yang diharapkan membawa berita baik kepada penduduk Kampung Darul Islam Belimbing.