Dirogol kenalan FB

2

Oleh Rosemaria Buma//

 

Perut memboyot, ibu terkejut anak mengaku dirogol kenalan Facebook.

MIRI: Seorang ibu hanya mengetahui anak perempuannya yang berusia 15 tahun telah dirogol seorang remaja lelaki yang dikenali melalui laman sosial Facebook (FB) setelah mendapati perut anaknya memboyot.

Mangsa yang merupakan pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di sini kini dilaporkan sedang hamil 25 minggu.

Berikutan itu, satu laporan polis telah dibuat ibu mangsa, 40, di Balai Polis Lutong pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Gan Tian Kee ketika dihubungi semalam mengesahkan ada menerima laporan polis berhubung kejadian itu.

Terdahulu, katanya, sekitar jam 8 pagi, 9 November lalu ketika berada di rumah, pengadu telah bertanya kepada mangsa mengapa bentuk badannya berubah dan setelah dipaksa, akhirnya mangsa menceritakan perkara sebenar yang berlaku ke atasnya.

“Mangsa memberitahu ibunya bahawa dia telah mengandung hasil hubungan seks dengan seorang lelaki berusia 17 tahun yang dikenalinya melalui FB dan selepas kejadian itu, mangsa tidak pernah berjumpa suspek lagi,” katanya.

Sehubungan itu, kata Gan, hasil siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku pada sekitar jam 8.30 pagi, suatu hari pada bulan Jun lalu di rumah mangsa iaitu semasa ketiadaan ahli keluarganya kerana keluar bekerja.

Manakala, mangsa telah berkenalan dengan suspek selama dua minggu sebelum kejadian rogol tersebut berlaku.

Berikutan itu, katanya, mangsa telah dirujuk ke Hospital Miri untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Hasil pemeriksaan, katanya, doktor mengesahkan terdapat kesan koyakan lama pada kemaluan mangsa dan mangsa kini disahkan sedang mengandung 25 minggu.

“Polis akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya sambil menambah suspek telah ditahan sekitar jam 11 malam kelmarin di Tudan.