Golf Remaja: Siti Zulaikha mendahului peserta lain

0

KUCHING: Pemain Persatuan Golf Malaysia (MGA), Siti Zulaikha Shaari kini mendahului peserta wanita lain pada hari pembukaan Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Sarawak edisi ke-16 di Kelab Golf Sarawak (KGS) di sini kelmarin.

Siti Zulaikha merupakan juara bertahan dalam kategori tersebut mencatatkan 74 pukulan, manakala saingan terdekatnya, Kimberley Nelson dari Kelab Golf Miri (KGM) berada di belakang dengan 79 pukulan.

Beliau bertanding dalam kategori Remaja Wanita Kumpulan A & Khas bersama sembilan peserta lain namun dengan mudah mendahului terutama dalam sembilan lubang pertama dengan catatan 37 pukulan.

“Saya tidak rasa tertekan walaupun menjadi pemain pilihan,” kata pemain berusia 15 tahun dan bermain dengan handikap kosong pada kejohanan tiga hari itu.

Ini adalah kali ketiga Siti Zulaikha menyertai Kejohanan Golf Remaja Sarawak berprestij dan sebelum bertandang ke sini beliau baharu sahaja menjuarai Kejohanan Golf Tertutup Malaysia 2014 di Shah Alam, Selangor.

Beliau turut menyertai Kejohanan Golf Remaja Thailand 2014 pada 6 hingga 9 November lalu dan mendapat tempat kelima.

Manakala pemain muda Thailand, Sorawit Apinyanunt yang beraksi dalam kategori remaja lelaki C mencuri tumpuan peserta lain apabila mencatat pukulan dalam satu ‘hole-in-one’ pada sesi latihan Isnin lalu.

Sementara itu, Pengerusi Persekutuan Sukan Antarabangsa Thailand, Pongnat Vatanasak semalam menyuarakan cadangan bagi semua kelab golf di Sarawak agar menganjur lebih banyak pertandingan untuk pemain remaja dan kanak-kanak.

Menurutnya, di Thailand terdapat lebih 10,000 pemain golf remaja dan kanak-kanak dan lebih 2,000 aktif bermain dalam 200 kelab golf yang ada di sana.

“Untuk peringkat kelab kami, terdapat dua jenis pertandingan yang dianjurkan setiap bulan menjadikan keseluruhan 24 pertandingan dianjurkan setiap tahun,” katanya.

Pongnant yang sudah mengetuai pasukan Thailand sebanyak 13 kali ke kejohanan golf antarabangsa remaja di Sarawak turut mencadangkan agar golf dipromosikan dengan lebih giat di sekolah-sekolah bagi menarik minat pelajar untuk menceburinya.

“Ini memberi manfaat kepada Sarawak terutamanya dalam membantu melahirkan ramai pemain remaja berbakat yang dapat mewakili negeri mahupun negara di arena kebangsaan dan antarabangsa suatu hari nanti,” katanya.