Imej suspek kes serangan bom di Bukit Bintang didedahkan

0

KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur semalam mendedahkan imej seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam insiden serangan bom tangan di hadapan sebuah kelab malam di Sun Complex, Bukit Bintang pada 9 Okt lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajudin Md Isa berkata ia berdasarkan empat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Beliau berkata berdasarkan rakaman CCTV juga, polis mendapati semasa kejadian, terdapat dua lelaki bertindak membaling bom tangan ke arah sekumpulan pengunjung yang keluar daripada pusat hiburan tersebut.

“Polis telah merujuk rakaman berkenaan kepada pihak forensik PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan mendapatkan pelukis profesional bagi melakar gambaran imej salah seorang yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

“Polis percaya imej lelaki yang dilukis berumur dalam lingkungan 40 tahun,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, semalam.

Tajudin berkata polis juga mendapati kedua-dua suspek telah berlari menuju ke sebuah kereta Proton Perdana berwarna hitam yang diletakkan di kawasan sekitar sejurus selepas kejadian.

Pada masa sama pihak polis memohon maaf kerana mereka terpaksa mengambil masa untuk mengenal pasti suspek disebabkan gambaran CCTV yang kurang jelas, katanya.

Beliau berkata sehingga kini lima warga tempatan berumur antara 25 dan 46 tahun telah ditahan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) bagi membantu siasatan.

Namun kesemua mereka telah dibebaskan, katanya.

“Kesemua tangkapan telah dibebaskan dengan jaminan polis selama dua minggu,” katanya sambil menambah polis masih percaya kejadian itu merupakan cubaan membunuh yang bermotifkan persaingan aktiviti haram.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat suspek yang menyerupai imej yang diedarkan agar menghubungi Pegawai Penyiasat ASP R. Ananthan di talian 019-3227766 atau menghubungi terus Bahagian Khas (D9), IPKKL di talian 03-21460685 dan pusat kawalan IPKKL melalui talian 03-21460585 atau 03-21460584.

Dalam kejadian itu, seorang joki kereta Tiong Kwong Yie, 36, maut dan 12 yang lain termasuk pelancong asing cedera yang dipercayai mempunyai kaitan dengan perebutan kawasan kumpulan kongsi gelap. — Bernama