Juara tetap menjadi idaman

0

Oleh Harry Ilias

KUCHING: Kerajaan Negeri akan menubuhkan dua jawatankuasa khas sebagai persiapan menghadapi SUKMA XIX yang bakal berlangsung di Sarawak pada 2016.

Ini diumumkan oleh Menteri Pembangunan Sosial, Tan Sri William Mawan Ikon pada sesi penggulungan bagi kementeriannya ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.

Menurut Mawan, dua jawatankuasa terbabit ialah Jawatankuasa Utama SUKMA XIX (19) Sarawak 2016 dan Jawatankuasa Penganjur SUKMA 19 Sarawak 2016.

“Untuk makluman, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah memberi kelulusan kepada Sarawak untuk menjadi tuan rumah SUKMA 2016.

“Ketika ini, kerajaan negeri sedang giat melakukan persiapan sebaik mungkin untuk memastikan penganjuran SUKMA 2016 berjalan dengan lancar dan berjaya,” katanya.

Mawan menarik perhatian, ketika Sarawak menjadi tuan rumah pada 1990, ramai yang memuji dan menggangap penganjuran yang paling berjaya pernah diadakan di luar Kuala Lumpur sehingga menjadi contoh kepada negeri-negeri lain.

“Kita bukan sahaja mahu memastikan penganjuran terbaik, tetapi berazam untuk menjadi juara buat kali keempat pada SUKMA 2016.

“Bagi mencapai sasaran tersebut, Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) telah memulakan program pencarian bakat-bakat untuk mencari atlet terbaik yang bakal mewakili negeri.

“Selain itu, Perbadanan Sukan Negeri Sarawak (SSC) juga ditugaskan menyediakan sokongan teknikal yang mencukupi agar kejohanan berprestij negara itu dianjur mengikut standard tinggi,” ujar beliau.

Mawan menjelaskan, proses penambahbaikan dan pembinaan fasiliti sukan baharu juga sedang giat dilaksanakan di setiap venue yang telah dikenal pasti untuk kejohanan kebangsaan itu nanti.

Mengulas lanjut mengenai fasiliti sukan, beliau berkata pembinaan pusat akuatik di Kompleks Stadium Sarawak telah siap sebanyak 36 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober 2015.

Ini termasuk pembaikian bumbung dan struktur konkrit Stadium Sarawak selain pembinaan padang hoki baharu di Kompleks Stadium Negeri.

“Pusat akuatik, Stadium Sarawak dan padang hoki antara fasiliti baharu yang bakal digunakan pada temasya SUKMA 2016. Tapak bagi fasiliti lain juga telah dikenal pasti dan proses pembinaan akan bermula secepat mungkin,” katanya.

Menurutnya, proses pembinaan Kompleks Sukan Julau dan Mukah juga berjalan dengan lancar dan kedua-dua fasiliti itu dijangka siap sepenuhnya pada tahun depan.

Manakala pembinaan Stadium Tertutup Sibu yang bermula sejak Mac tahun ini dijangka siap sepenuhnya pada awal 2016.