Kes denggi meningkat 185% dari Jan hingga 8 Nov

0

KUALA LUMPUR: Jumlah kumulatif kes denggi yang dilaporkan di seluruh negara dari Januari sehingga 8 Nov tahun ini meningkat sebanyak 185 peratus kepada 88,806 kes berbanding 31,170 kes yang dilaporkan bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kumulatif kematian sehingga 8 Nov ialah sebanyak 169 berbanding 63 bagi tempoh yang sama pada 2013.

Katanya, sejumlah 96 lokaliti kawasan panas dilaporkan di seluruh negara iaitu Selangor (89), Kelantan (4), Melaka (2) dan Sarawak (1).

“Hasil analisa kementerian di kesemua lokaliti kawasan panas itu, dilaporkan hanya 13 lokaliti menjalankan aktiviti gotong-royong.

Melalui kawalan dan pemantauan kementerian pula menunjukkan kadar pembiakan aedes adalah tinggi iaitu antara 1.1 peratus hingga 25 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Mengenai perkembangan kes denggi berdasarkan mingguan pula, beliau berkata terdapat penurunan sebanyak 42 kes (2.1 peratus) dalam tempoh tujuh hari dari 2 Nov hingga 8 Nov dengan 2,041 kes dilaporkan berbanding 2,083 kes pada minggu sebelumnya.

Bagaimanapun Dr Noor Hisham berkata lima negeri telah mengalami peningkatan kes demam denggi dalam tempoh berkenaan iaitu Melaka, Pulau Pinang, Perak, Terengganu dan Sabah.

Dalam pada itu beliau menasihatkan penduduk setempat agar mengambil berat tentang kebersihan kediaman masing-masing dengan menjalankan aktiviti gotong-royong setiap minggu untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes. — Bernama