Pengendali bas awam perlu prihatin kemudahan OKU

0

GEORGE TOWN: Akses untuk pengguna kurang upaya (OKU) terutama yang berkerusi roda menaiki bas awam di negara ini belum tercapai 100 peratus, kata Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

Sehubungan itu, Ketua Pengarah JKJR Datuk Dr Tam Weng Wah meminta syarikat-syarikat pengendali bas awam seluruh negara bersikap lebih prihatin dalam menyediakan kemudahan untuk pengguna OKU.

“Kami masih menjalankan kajian untuk melihat sejauh manakah pengangkutan awam seperti bas mesra OKU dan pemerhatian kami secara keseluruhan buat masa ini mendapati ia masih berada pada tahap minimum,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas meninjau perhentian bas, laluan pejalan kaki dan bebendul jalan di sekitar Sungai Dua dan Jalan Macalister, di sini bersama wakil syarikat bas Rapid Penang, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang semalam.

Pemantauan bersepadu di bawah program Menangani Aduan Sebelum Jadi Aduan (MASJA) sejak Januari 2013 itu menyasar menyelesaikan 900 kes melibatkan masalah kualiti infrastuktur sebelum akhir tahun ini.

Tam berkata JKJR Pulau Pinang telah menyelesaikan 89 kes dan jumlah itu melepasi Indeks Prestasi Utama (KPI) yang menetapkan sekurang-kurangnya lima kes setiap bulan dan muncul sebagai negeri terbaik setakat ini diikuti Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Rapid Penang Major (B) Mohd Shukri Abdul Rahman berkata kesemua 330 bas syarikat itu dilengkapi tanjakan (ramp) untuk kemudahan OKU berkerusi roda.

Beliau berkata daripada jumlah itu 261 bas beroperasi setiap hari di 46 laluan melibatkan keseluruhan 85,000 penumpang di seluruh Pulau Pinang.

“Kami masih menerima satu hingga dua aduan setiap bulan daripada penumpang berkerusi roda yang merungut ramp tidak mencapai permukaan perhentian bas disebabkan ia dibina terlalu tinggi atau tidak sekata (selari),” katanya.

Beliau berkata untuk menangani isu itu pihaknya bekerjasama dengan MPPP dan Majlis Perbandaran Seberang Perai bagi meningkatkan keselesaan kira-kira lima peratus pengguna kurang upaya. — Bernama