KGS anjur kursus peraturan permainan golf kepada media

0

KUCHING: Kelab Golf Sarawak (KGS) telah menganjurkan kursus peraturan permainan golf kepada pengamal media di sini bertempat di KGS semalam.

Ia dikendalikan oleh Pengurus Besar KGS, Bernard Lee dan disertai wartawan dari The Borneo Post, Utusan Borneo dan Sarawak Tribune.

Menurut Bernard, objektif utama kursus tersebut adalah bagi menerangkan kepada pengamal media cara-cara yang tepat untuk membuat laporan mengenai permainan golf.

“Kebanyakan laporan berita mengenai sukan golf yang dipaparkan dalam media cetak mahupun media elektronik hari ini masih menggunakan terminologi yang salah dan ia perlu diperbetulkan bagi mengelak kekeliruan pembaca.

“Sehubungan ini, KGS berharap kursus ringkas ini dapat membantu pihak media dalam menyediakan laporan yang betul mengenai sukan ini,” katanya semalam.

Semasa kursus, Bernard menjelaskan secara ringkas peraturan dan terminologi yang tepat mengenai sukan yang kian digemari itu.

KGS sedang menganjurkan Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Sarawak edisi ke-16 yang berakhir hari ini.