Putera Kuala Lawas sasar gelaran Raja Sungai Lawas

0

LAWAS: Raja Sungai Brunei 2014, pasukan Putera Kuala Lawas (PKL) menyasar untuk menggenggam mahkota kejuaraan Raja Sungai Lawas yang dijangka berlangsung sengit sempena Pesta Lawas, hujung minggu ini.

Ketua Kontinjen PKL Awang Damit Ali Hasan berkata, anak-anak buahnya sudah melakukan persediaan rapi dari segi mental dan fizikal termasuk mengadakan latihan intensif sejak dua bulan lepas di Sungai Kuala Lawas.

Beliau berkata, sebanyak lima buah perahu dipertaruhkan di bawah nama Putera, Pewaris dan Gabungan Kontraktor untuk memberi saingan kepada peserta-peserta dari seluruh Sarawak dan Brunei Darussalam.

“Meskipun kecundang dua tahun lepas pada kejohanan sama, tetapi kali ini kita mencuba lagi dengan semangat baharu dan komitmen tinggi untuk memburu gelaran juara,” ujarnya ketika dihubungi di sini semalam.

Awang Damit berkata, PKL yang dianggotai 150 peserta telah melakukan persiapan rapi di bawah bimbingan Awangku Jefri Pengiran Ibrahim selaku pengurus pasukan.

Katanya, berbekalkan slogan ‘Lakukan yang Terbaik!’ (Just Do It!), beliau mahu anak-anak buahnya sentiasa fokus dan tidak mendengar propaganda daripada luar untuk mencapai kejayaan.

Beliau menjelaskan, Pesta Lawas 2014 hujung minggu ini dilihat sebagai satu aktiviti ‘pemanas badan’ untuk pasukan terbabit mempertahankan kejuaraan Raja Sungai Brunei 2015.

“Kalah, menang adat bertanding, apa yang penting ialah semangat juang yang ditunjukkan anak-anak buah untuk melakar kejayaan pada Pesta Lawas dan juga Regata Brunei 2015,” tambahnya.

Difahamkan, sebanyak 38 penyertaan bakal memeriahkan acara Regata Lawas yang bukan sahaja memastikan Sungai Lawas berkocak lagi, malah memburu ganjaran dan gelaran Raja Sungai Lawas 2014.

Antara pasukan yang dijangka mengambil bahagian ialah LANDAS, Citra Seri Sarawak, Majlis Sukan MIPR Brunei, Warisan Aru, GP Punang, Pedang Setiawan, Rubah Terbang, Tabuan dan PUSAKA.