Tarif elektrik turun mulai 1 Januari 2015

2

Laporan oleh Saibi Gi, Jessica Jawing, Nick Fletcher, Sandy Mark Luna, Hamimi Kassim, Siti Aisyah//

Kerajaan rangka semakan semula mengambil kira pengguna berpendapatan rendah

BERITA GEMBIRA: Para wartawan mendengar pengumuman Adenan mengenai keputusan kerajaan menurunkan tarif elektrik mulai 1 Januari 2015.

KUCHING: Bagi mengurangkan beban rakyat akibat kenaikan kos sara hidup, kerajaan negeri akan menurunkan tarif elektrik bagi pengguna domestik berkuat kuasa 1 Januari 2015.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata kerajaan telah merangka semakan semula tarif elektrik dengan mengambil kira pengguna daripada golongan berpendapatan rendah.

“Hampir 60,000 pengguna akan menyertai 70,000 pengguna yang sedia layak menikmati subsidi RM20 kerajaan persekutuan.

“Ini bermakna kira-kira 130,000 pengguna berpendapatan rendah akan menerima bil (elektrik) bulanan sifar (tidak perlu membayar),” katanya mengumumkan keputusan tersebut pada ucapan penggulungannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.

Menurutnya, bagi 50,000 pengguna yang tidak layak menerima subsidi kerajaan persekutuan dan menggunakan 150 unit sebulan, tarif akan dikurangkan kepada lebih 40 peratus.

Semakan semula itu juga melibatkan 50,000 pengguna yang menggunakan antara 150 dan 200 unit dengan kadar baharu 30 peratus.

Manakala 80,000 pengguna yang menggunakan antara 200 dan 300 unit sebulan akan menikmati pengurangan tarif 20 peratus.

Bagi 50,000 pengguna yang menggunakan antara 300 dan 400 unit sebulan akan menerima pengurangan 10 peratus.

Sebanyak 125,000 pengguna dengan penggunaan terbanyak iaitu lebih 400 unit layak menikmati pengurangan antara dua dan empat peratus.

“Secara keseluruhan, 240,000 pengguna atau hampir 50 peratus pelanggan SEB (Sarawak Energy Bhd) akan menikmati pengurangan tarif antara 20 dan lebih 40 peratus,” katanya.

Adenan berkata lagi, struktur semakan semula tarif elektrik adalah sejajar dengan prinsipal tarif moden iaitu tarif meningkat dengan penggunaan elektrik.

“Ini menunjukkan dasar sosial yang baik dengan menawarkan harga terendah kepada pengguna berpendapatan rendah dan turut mempromosi falsafah hijau dengan menggalakkan penggunaan elektrik cekap,” ujarnya.

Beliau menafikan langkah penurunan itu diambil kerajaan akibat desakan ahli politik pembangkang.

“Keputusan ini bukan hasil daripada kempen tandatangan penurunan tarif elektrik oleh DAP sebelum ini. Jangan mengambil kesempatan atas usaha BN.

“Anda (pembangkang) cuma boleh minta apa-apa tetapi BN yang melakukannya,” tegasnya.

Beliau berkata lagi pengguna di Sarawak sebelum semakan semula ini juga menerima kadar caj elektrik yang rendah di Malaysia.

Kerajaan negeri menurutnya dapat mengurangkan tarif elektrik apabila Empangan Hidroelektrik Murum berupaya merendahkan kos purata pembekalan ditanggung SEB.

Ini adalah sejajar dengan rancangan jangka panjang kerajaan negeri untuk beralih daripada menggunakan bahan bakar fosil untuk bekalan tenaga kepada tenaga diperbaharui yang lebih rendah kos.

“Dalam konteks ini, komitmen kerajaan negeri dalam membangunkan sumber tenaga hidro menerusi Pelan Pembangunan SCORE telah membawa pulangan awal kepada rakyat,” katanya.

Penurunan tarif itu menurutnya adalah susulan kejayaan SEB mengurangkan kes kecurian elektrik sejak 2010.

“Dengan mengelakkan kos menghasilkan tenaga yang dicuri, SEB sekarang mempunyai kapasiti kewangan lebih baik untuk mengurangkan tarif,” katanya.