Tergamak bunuh gara-gara tanah

0

Mangsa meninggal kerana cedera parah di kepala

PARAH: Mangsa tiba di HUS untuk rawatan lanjut sebelum dia disahkan meninggal dunia semalam.

SRI AMAN: Gara-gara berebut tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), seorang pengusaha ladang sawit dipercayai membunuh ahli keluarganya selepas perbuatan khianatnya terbongkar, kelmarin.

Terdahulu, lelaki berusia 57 tahun itu bersama dua rakannya pergi ke sebuah sawah padi di Selepong, dekat sini yang dimiliki oleh seorang ahli keluarganya sekitar jam 10 pagi kelmarin.

Rani Chendang, isteri kepada Chalix Tinggi yang disahkan meninggal dunia semalam berkata, suspek dilihat menyimbah cecair disyaki racun dipercayai dengan niat merosakkan tanaman di sawah padi tersebut.

“Bagaimanapun, kami ketika itu sudah berada di situ untuk mengintai apa yang ingin dilakukannya kerana ini bukan kali pertama dia (suspek) berbuat demikian.

“Menyedari perbuatannya sudah terbongkar, dia membelasah adik saya dan ketika itu, suami saya cuba menghalangnya tetapi dia turut dipukul menyebabkan dia terjatuh dan pengsan akibat kecederaan di kepalanya.

“Melihat keadaan suami saya yang parah, dia (suspek) terus melarikan diri dari tempat kejadian,” kata Rani.

Rani memberitahu, mereka telah mengejarkan suaminya ke Hospital Sri Aman namun dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan susulan ekoran kecederaan parah yang dialaminya.

“Sekitar jam 8 pagi tadi (semalam) dia (mangsa) bagaimanapun disahkan meninggal dunia kerana cedera parah di kepala,” kata Rani yang tidak lagi dapat menahan kesedihan selepas itu.

Laporan polis berhubung kejadian juga telah dibuat oleh keluarga mangsa selepas insiden tersebut.

Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Mat Jusoh Mohammad semasa dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu pihaknya telah menahan suspek untuk membantu siasatan.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek dan mangsa mempunyai hubungan keluarga dan punca kejadian dipercayai disebabkan oleh perebutan hak terhadap tanah NCR di kawasan Selepong, KM27 Jalan Sri Aman-Serian.

“Suspek sudah ditangkap dan direman selama tujuh hari bermula hari ini (semalam),” katanya yang turut memberitahu kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.