60 peserta terlibat Kem Bakat Muaythai PMM-KBS

1

KUCHING: Seramai 60 peserta terlibat dalam program Kem Bakat Muaythai Persatuan Muaythai Malaysia (PMM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Peringkat Negeri Sarawak yang diadakan pada 14 hingga 15 November bertempat di Esplanade Bintulu.

Program anjuran bersama PMM dan KBS itu menyediakan asas muaythai kepada kanak-kanak dan remaja dan mendapat pengiktirafan Majlis Muaythai Dunia (WMC).

Melalui perkongsian pintar itu, PMM mahu memperkembangkan bakat-bakat baru untuk diketengahkan di kejohanan antara sekolahsekolah kebangsaan dan di peringkat antarabangsa.

Menurut penganjur, kem tersebut memberi tumpuan kepada teknik dan teori muaythai menerusi corak pembelajaran berkonsepkan ‘Fun and Education’.

Selain itu, ia menerapkan lima paksi sukan muaythai dalam pembelajaran iaitu ‘Honour’, ‘Tradition’, ‘Respect’, ‘Fairplay’ dan ‘Excellence’.

“Objektif utama program tersebut adalah untuk mencungkil bakat baharu di peringkat pelajar sekolah memandangkan sukan muaythai akan mula dipertandingkan di Sukan Asia, Komanwel, Sukan Sea dan badan dunia antarabangsa.

“International Federation of Muaythai Amateur (IFMA) akan memulakan bida bagi sukan ini dipertandingkan di peringkat Olimpik pada masa hadapan.

“Dengan memperkenalkan teori dan teknik asas sukan muaythai kepada golongan kanak-kanak dan remaja secara tidak langsung mewujudkan komuniti akar umbi sukan ini,” menurut kenyataan dari pihak penganjur.

Selain itu katanya, program itu bertujuan mempromosikan dan penerapan budaya hidup sihat dalam aktiviti kecergasan bersesuaian dengan objektif terkini kerajaan yang memperkenalkan program ‘Fit Malaysia’.

Majlis penutupan dan penyampaian sijil telah disempurnakan oleh wakil Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Sarawak, Lamat Nyalau.

Turut hadir semasa majlis penutupan Presiden Persatuan Muaythai Sarawak (PMS) Jumaat Ibrahim dan wakil-wakil dari Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Bintulu.