Afrika Selatan pastikan Nigeria ‘gigit jari’

0

Guinea layak ke Piala Negara Afrika 2015 selepas tumbangkan Uganda 2-0 di Casablanca

ABUJA, Nigeria: Guinea, negara yang dilanda wabak Ebola, menyertai Ivory Coast, Mali, Ghana dan DR Kongo layak ke Piala Negara Afrika 2015 tetapi juara bertahan, Nigeria, tersingkir Rabu lepas.

Ketika kempen kelayakan berakhir, Nigeria diikat 2-2 oleh pasukan yang sudah layak, Afrika Selatan di tempat sendiri di Uyo untuk menamatkan saingan di tangga ketiga Kumpulan A.

Kongo, yang menang 1-0 ke atas Sudan, mengesahkan tempat kedua dan tiket terakhir kelayakan dari Kumpulan A.

Tempat terakhir diperolehi oleh DR Kongo untuk pasukan terbaik di tangga ketiga.

Pasukan lain yang sudah layak sebelum perlawanan terakhir kelayakan ini ialah Algeria, Burkina Faso, Cameroon, Cape Verde Islands, Kongo Brazzaville, Gabon, Senegal, Afrika Selatan, Tunisia dan Zambia.

Equatorial Guinea layak secara automatik sebagai tuan rumah baharu kejohanan.

Pasukan yang mengejutkan tidak akan bersaing sudah tentu Nigeria, negara dengan populasi penduduk paling ramai di benua Afrika yang juga juara bertahan kejohanan.

Tokelo Rantie membuka jaringan buat Afrika Selatan pada minit ke-42 apabila melepasi kawalan Azubuike Egwuekwe dari bahagian kiri padang sebelum menewaskan penjaga gol Vincent Enyeama.

Rantie menjaringkan gol kedua pada minit ke-48 apabila meloloskan diri dari pertahanan Nigeria sebelum menjaringkan gol.

Nigeria merapatkan kedudukan pada minit ke-68 menerusi gol Sone Aluko selepas rembatan Ike Uche terkena palang.

Uche mengikat kedudukan buat pasukannya pada minit kecederaan tetapi semuanya sudah terlalu lewat untuk mengelak pasukannya tersingkir dari saingan.

Afrika Selatan kurang seorang pemain apabila Reneilwe Letsholoyane dibuang padang pada minit ke-72.

Kempen kelayakan ke kejohanan peringkat benua itu diteruskan walaupun dibayangi wabak Ebola yang sudah meragut lebih dari 5,000 nyawa dan kali pertama melanda Guinea pada awal tahun.

Ia sudah meragut hampir 1,200 nyawa di negara-negara barat Afrika, menjangkiti sekitar 1,900 penduduk.

Penganjur Piala Negara Afrika, yang juga badan induk bola sepak Afrika, CAF, memaksa perlawanan di tempat sendiri buat Guinea, dipindahkan ke Maghribi, yang digugurkan hak penganjuran kejohanan kerana menegaskan mahu menangguhkan kejohanan kerana bimbang penyebaran wabak berbahaya itu.

Dan kerana itu, Guinea menewaskan Uganda 2-0 di Casablanca, Maghribi, Rabu lepas untuk melayakkan diri ke kejohanan yang berlangsung pada Januari depan.

Ibrahima Traore membuka jaringan buat Guinea pada minit ke-23 sebelum Soumah Seydouba menambah jaringan dari satu tendangan penalti pada minit ke-62.

Ghana memenangi Kumpulan E dengan 11 mata selepas menewaskan Togo 3-1 di tempat sendiri.

Guinea menamatkan saingan di tangga kedua dengan 10 mata untuk mengesahkan tempat ke Equatorial Guinea, tuan rumah baharu kejohanan.

Abdulmajeed Waris membuka jaringan buat Ghana pada minit ke-24 sebelum Mubarak Wakaso menambah jaringan empat minit kemudian.

Togo merapatkan kedudukan pada minit ke-47 menerusi gol Jonathan Ayote tetapi Emmanuel Agyemang Badu melengkapkan jaringan buat Ghana pada minit ke-68.

Ivory Coast seri tanpa jaringan dengan Cameroon di tempat sendiri untuk menamatkan saingan Kumpulan D di tangga kedua dengan 10 mata dari enam perlawanan, di belakang Cameroon yang mengumpul 14 mata.

Mali menyertai Algeria layak ke kejohanan awal tahun hadapan selepas pencabar terdekat mereka, Malawi, seri tanpa jaringan di Habsyah.

Mali menamatkan kempen kelayakan dengan sembilan mata, Malawi tujuh dan Habsyah dengan empat mata.

Zambia menewaskan juara Kumpulan F, Cape Verde 1-0 menerusi gol Kampamba Chintu pada minit ke-78.

Zambia menamatkan saingan dengan 11 mata, satu mata di belakang Cape Verde.

DR Kongo menewaskan Sierra Leone 3-1 untuk menamatkan kempen sebagai pasukan tempat ketiga terbaik dengan sembilan mata, mengatasi bekas juara, Mesir, yang hanya mengumpul enam mata selepas tewas 1-2 di Tunisia.

Kejohanan Piala Negara Afrika berlangsung di Equatorial Guinea dari 17 Januari sehingga 8 Februari, dengan undian kumpulan akan dibuat pada 3 Disember depan. — AFP