Empat resolusi Melayu Sarawak akan diaju kepada kerajaan: Naroden

0

KUCHING: Empat resolusi yang dibentang dan diluluskan pada Makmal Resolusi Seminar Budaya Melayu Sarawak Keenam akan diajukan kepada kerajaan negeri untuk dipertimbang dan dilaksanakan.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Naroden Majais berkata, empat resolusi itu sudah pastinya akan memajukan ekonomi serta menjaga kebajikan dan budaya masyarakat Melayu di Sarawak.

Resolusi itu merangkumi Kependudukan (Populasi Dinamik Melayu di Sarawak), Pendidikan (Tahap Kecemerlangan Pelajar Melayu dalam Peperiksaan), Cadangan Penubuhan Persatuan Wanita Melayu Sarawak dan Transformasi Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS).

“Empat resolusi yang dibentangkan pada hari ini (semalam) akan saya ajukan kepada kerajaan negeri untuk dipertimbangkan dan dilaksanakan bagi membolehkan kita meningkat serta memajukan budaya Melayu di Sarawak,” katanya pada majlis perasmian Makmal Resolusi Seminar Budaya Melayu Sarawak di sini semalam.

Naroden yang juga Timbalan Pengerusi Lembaga AKYBMS berkata, kerajaan negeri telah mengenal pasti tapak untuk pembinaan kompleks yayasan itu dan kini masih dalam proses reka bentuk.

“Insya-Allah projek itu akan dilaksanakan pada tahun hadapan supaya ahli AKYBMS dapat memanfaat kompleks ini untuk penganjuran program bagi memajukan budaya (Melayu) di negeri ini,” tambahnya.

Malah, Menteri Muda Perancangan Sumber itu memberitahu, AKYBMS juga merancang untuk menganjurkan Pesta Kebudayaan di peringkat daerah dan negeri pada tahun depan.

“Pesta ini dapat dijadikan platform untuk menyatukan masyarakat Melayu, Melanau dan mualaf termasuk masyarakat lain di negeri ini menerusi kebudayaan,” jelasnya lagi.

Makmal semalam disertai 77 peserta yang bertujuan membincang, menganalisis dan mengambil tindakan sewajarnya untuk melaksanakan Resolusi Seminar Budaya Melayu Sarawak.