Platform terbaik timba pengalaman: Jumaat

0

PENGALAMAN BERHARGA: Ayu memberikan ‘pose’ istimewa sebelum memulakan perlawanan. Gambar sisipan Jumaat.

Ayu dipanggil wakili Malaysia pada pertandingan muaythai sempena Sukan Pantai Asian ke-4

KUCHING: Petinju wanita Sarawak, Ayu Arynafaiza Azmi meraih pengalaman berharga selepas dipanggil mewakili Malaysia pada pertandingan muaythai sempena Sukan Pantai Asian ke-4 yang berlangsung di Patong Central Beach, Phuket, Thailand 19 November lepas.

Meskipun tewas di tangan wakil tuan rumah, Rattanaphom Hanphan dalam saingan 45-48kg, pemenang pingat perak SUKMA 2013 itu tetap berpuas hati kerana berjaya memberi saingan sengit kepada pencabarnya.

Menurut Presiden Persatuan Muaythai Sarawak (PMNS) Jumaat Ibrahim, pihaknya gembira dengan pemilihan petinju Sarawak untuk mewakili negara pada kejohanan itu.

Tambahnya, ini membuktikan Sarawak mempunyai ramai petinju berbakat dan mampu pergi dengan lebih jauh sekiranya terus diberi peluang sedemikian rupa.

“Pertandingan ini platform terbaik untuk Ayu menimba pengalaman berharga ketika bersaing dengan lawan yang jauh lebih hebat seperti peserta tuan rumah selain memberinya peluang bertanding di arena antarabangsa.

“Selain itu, pertandingan seperti ini dapat memantapkan persediaan Ayu kerana beliau akan mewakili Sarawak pada SUKMA 2015 di Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sehubungan itu, Jumaat menyeru kepada kelab-kelab muaythai tempatan yang berdaftar di bawah PMNS agar terus memberi peluang kepada petinju tempatan untuk bertanding di kejohanan serupa bagi mendedahkan kepada mereka peraturan muaythai yang telah diguna pakai oleh Persatuan Muaythai Malaysia (PMM) dan International Federation of Muaythai Amateur (IFMA).

Ujarnya, PMNS sebagai badan yang diberi tanggungjawab oleh kerajaan harus memastikan semua peraturan tersebut dipatuhi oleh mana-mana penganjur terutama yang melibatkan institusi tinggi.

“Kesemua peraturan ini telah ditetapkan oleh PMM dan Pesuruhjaya Sukan Negeri Sarawak.

Dan kita sebagai badan induk negeri perlu memastikan penganjur mematuhi peraturan tersebut.

“Mereka yang masih keliru mengenai tatacara ini boleh berjumpa dengan saya untuk mendapatkan penerangan dengan lebih jelas,” katanya.

Pertandingan yang berlangsung selama sehari itu disertai beberapa negara seperti Thailand, Iran, China, Hong Kong, Malaysia, Mongolia, Vietnam, India, Filipina, Afghanistan, Korea Selatan, Uzbekistan, Turkmenistan, Tajikistan, Kyrgyzstan dan Syria.

Sebanyak 20 perlawanan dipertandingkan dengan empat pusingan untuk kategori wanita.