Program ’Lan Berambeh’ di Kampung Sungai Bedil Besar 28-30 Nov

0

KUCHING: Program ’Lan Berambeh’ kembali lagi pada tahun ini yang akan berlangsung selama tiga hari berturut-turut dari 28 hingga 30 November di Kampung Sungai Bedil Besar.

Program ’Lan Berambeh’ merupakan acara tahunan yang dianjurkan Jawatankuasa Kejiranan Mesra (KJM), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sungai Bedil Besar dengan kerjasama  Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

KJM Kampung Sungai Bedil Besar mula ditubuhkan pada tahun 2004 dan sejak itu ia menekankan aktiviti yang bertujuan untuk mempromosikan semangat gotong-royong, kesukarelaan dan ikatan kejiranan dalam kalangan warga kampung di samping melahirkan satu produk dan aktiviti yang kekal.

Sejak tahun 2007, Jawatankuasa KJM Kampung Sungai Bedil Besar bergiat aktif menganjurkan Program ’Lan Berambeh’ bertujuan untuk mempromosi produk dan perkhidmatan usahawan kecil terdiri daripada warga kampung di samping sebagai satu usaha untuk mempromosikan Kampung Sungai Bedil Besar.

’Lan’ dalam dialek tempatan bermaksud ’Jom,’ ’Mari,’ atau mengajak ke sesuatu lokasi, manakala ’Berambeh’ bermaksud bersantai, melawat, makan, minum, jemputan, bermalam atau berkumpul.

Antara aktiviti yang bakal dilangsungkan ialah jualan pameran dan promosi produk, pertandingan karaoke, pemeriksaan kesihatan, demonstrasi membuat kuih-muih, sukaneka, pertandingan mewarna dan banyak lagi.