Sturridge alami kecederaan terbaharu di bahagian paha

0

LONDON, England: Penyerang Liverpool, Daniel Sturridge mungkin tidak akan beraksi sehingga Tahun Baharu selepas satu pengumuman Rabu lepas di mana penyerang antarabangsa England itu mengalami kecederaan terbaharu di bahagian paha.

Penyerang berusia 24 tahun itu tidak bermain untuk Liverpool sejak 31 Ogos selepas mengalami kecederaan paha ketika bermain untuk England.

Ia kemudian disusuli oleh kecederaan betis ketika menjalani sesi latihan pertamanya di Liverpool.

Beliau kembali berlatih minggu lepas dan berkata ia sesuatu yang menarik.

Tetapi satu kenyataan ringkas yang dikeluarkan Rabu lepas berkata: “Kelab Bola Sepak Liverpool hari ini (Rabu) mengesahkan pemeriksaan imbasan mendedahkan Daniel Sturridge mengalami kecederaan paha baharu.

“Pemain ini tidak akan dapat diturunkan tetapi akan dipantau dan dinilai semasa tempoh pemulihan.”

Liverpool hanya menang lima perlawanan – dua daripadanya dalam Piala Liga Inggeris – dan tewas tujuh kali sejak Sturridge tidak beraksi.

Rekod mereka dalam Liga Perdana untuk tempoh yang sama ialah lima kekalahan dan lapan gol dari tujuh perlawanan, dengan pemain baharu seperti Mario Balotelli dan Rickie Lambert gagal mengisi kekosongan ketika ketiadaan Sturridge dan perpindahan Luis Suarez ke Barcelona sebelum bermulanya musim baharu.

Apa yang pasti, Balotelli, Lambert dan rakan penyerang Fabio Borini, masih belum menjaringkan satu gol Liga Perdana musim ini.

Liverpool, naib juara musim lepas, ketika ini berada di tangga ke-11 Liga Perdana dan ketinggalan 15 mata di belakang pendahulu liga, Chelsea.

Mereka bagaimanapun empat mata di belakang slot kelayakan Liga Juara-Juara, dengan empat pasukan teratas liga layak beraksi dalam Liga Juara-Juara. – AFP