Van Gaal hadapi tugas getir di London

0

LONDON, England: Jurulatih Manchester United, Louis van Gaal, akan menguji sepenuhnya kekuatan dalaman pasukan beliau untuk perlawanan di Arsenal pada aksi Liga Perdana Inggeris Sabtu ini ketika krisis kecederaan menyelubungi kelab Old Trafford itu.

Selalunya, pengurus Arsenal, Arsene Wenger merungut ketiadaan pemain utama kerana kecederaan menjelang perlawanan besar seperti menentang United tetapi kali ini, United mungkin kehilangan 12 pemain utama, termasuk penjaga gol David De Gea pada perlawanan di Stadium Emirates.

United juga lemah di benteng pertahanan dengan empat pemain pertahanan utamanya mungkin tidak dapat beraksi, menyebabkan Van Gaal mungkin menurunkan pemain muda seperti Patrick McNair dan Tyler Blackett untuk menangani ancaman bekas penyerang United, Danny Welbeck.

Welbeck beraksi cemerlang sejak perpindahan bernilai 16 juta pound ke Arsenal pada bulan September, menjaringkan 10 gol untuk Arsenal dan juga England.

Arsenal mencatatkan dua keputusan mengecewakan sebelum rehat bola sepak antarabangsa, mensia-siakan pendahuluan 3-0 sebelum seri 3-3 dengan Anderlecht dalam aksi Liga Juara-Juara dan tewas 1-2 di Swansea City dalam liga.

“Kami mempunyai dua perlawanan menentang Manchester United dan Borussia Dortmund di tempat sendiri dan jika kami boleh membangkitkan semangat penyokong dari awal dan mendapatkan keputusan, maka ia pastinya jalan cerita yang berbeza sekali lagi,” kata kapten Arsenal, Mikel Arteta.

Arsenal ketika ini berada di tangga keenam dengan 17 mata dan United berasa satu anak tangga dan satu mata di belakang mereka.

Pada perlawanan lain, pendahulu liga, Chelsea, akan melayani kunjungan West Bromwich Albion pada hari Sabtu.

Liverpool, di tangga ke-11 selepas hanya mengumpul 14 mata dari 11 perlawanan pertama, bertandang ke Crystal Palace pada perlawanan hari Ahad.

Liverpool pastinya tidak mahu mengulangi keputusan seri 3-3 di Palace minggu lepas di mana mereka mensia-siakan pendahuluan 3-0.

Keputusan itu akhirnya menyebabkan mereka hanya muncul naib juara liga.

Swansea City, di tangga kelima liga, akan bertandang ke Manchester City pada hari Sabtu sementara West Ham United akan berkunjung ke Everton. — AFP