Ngap Sayot ikat Billy

0

Oleh Harry Ilias

Billy Mehmet

Bersetuju tandatangani kontrak dengan FAS musim depan

KUCHING: Penyerang sensasi Kedah, Billy Mehmet sah menyertai skuad Ngap Sayot pada musim depan setelah dilaporkan bersetuju menandatangani kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).

Billy, 30, mengesahkan status terbarunya itu menerusi laman sosial twitternya.

Menurut penyerang kelahiran Peckham, London itu beliau berasa gembira kerana diberi kepercayaan untuk bermain dengan Sarawak dan bersedia memberikan yang terbaik untuk membantu pasukan baharunya itu memburu kejuaraan dalam Liga Malaysia (Liga M) 2015.

Penyertaan Billy bersama Sarawak musim depan disambut gembira oleh penyerang import, Ryan Alan Griffiths seraya berkata, beliau juga tidak sabar untuk bermain bersama-sama bekas pemain remaja West Ham United itu.

Billy menjaringkan 28 gol sepanjang menyertai Kedah dalam saingan Liga Perdana 2014 namun sumbangan beliau gagal membantu melonjakkan pasukan Sang Kenari ke Liga Super musim depan.

Beliau menyertai pasukan Hijau Kuning itu pada tahun lalu selepas beraksi selama setahun bersama pasukan yang bersaing dalam Liga India, Dempo SC.

Memulakan kariernya sebagai pemain remaja West Ham pada 1991, Billy kemudiannya berhijrah ke Dunfermline Athletic pada 2003 untuk menimba pengalaman baharu.

Selepas itu, beliau berkelana menyertai St Mirren (2005), Gençlerbirliði (2010), Samsunspor (2011), Perth Glory (2011) dan Bangkok Glass (2013).

Menurut sumber, pemain itu akan kembali ke sini pada 26 November ini untuk menyertai kem latihan pasukan Sarawak di Miri pada 27 November nanti.

Sementara itu, Ivan Patic (Montenegro) dan Ronald Djam (Cameroon) masih bersaing untuk mengisi satu lagi slot pemain import asing sebelum pendaftaran pemain ditutup pada 5 Disember depan.

Sarawak telah mengikat Partiban Janasekaran, Varadhan Arumugam, Sabri Sahar, Mohd Nazri Mohd Kamal, Mohd Iqbal Suhaimi dan Mahadevan Gangadheran.

Juara Liga Perdana 2013 itu turut mengekalkan Mohd Fadzley Abdul Rahim, Muhammad Dzulfadli Awang Marajeh, Aidil Mohamad, Mazwandi Zakeria, Mohd Dzulazlan Ibrahim, Ashri Chuchu, Mohd Hairol Mokhtar, Rames Lai Ban Huat, Ronny Harun, Joseph Kalang Tie, Mohd Shahrol Saperi, Ryan Alan Griffiths dan Gabor Gyepes.

Manakala dua pemain Piala Presiden iaitu Shreen Tambi dan Florian Rison Laes turut diserapkan dalam pasukan senior pada musim depan.