Pantau pergerakan anak ketika musim banjir

0

KOTA BAHARU: Polis menasihatkan ibu bapa supaya memantau rapi pergerakan anak-anak mereka ketika musim banjir bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Polis Kelantan ACP Dahlan Mohd Noor berkata ibu bapa perlu melarang anak-anak bermain di kawasan yang dinaiki air.

“Kita tidak mahu berlaku kejadian yang boleh meragut nyawa pada musim banjir ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, semalam.

Dahlan berkata meskipun buat masa ini keadaan banjir masih terkawal namun penduduk perlu sentiasa berwaspada.

“Kita tak tahu pergerakan air macam mana dan sudah ada kejadian tahun sebelumnya walaupun ibu bapa pantau tetapi anak hilang,” katanya.

Portal rasmi kerajaan negeri melaporkan jumlah mangsa banjir di tiga pusat pemindahan yang dibuka di Kota Baharu dan Pasir Puteh kekal 130 orang pada jam 2 petang semalam.

Sebanyak 77 orang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Mulong dan 28 orang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Tiong Kota Baharu ini, manakala di Pasir Puteh, 25 orang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Wakaf Raja.

Paras air Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas pada jam 2 petang semalam masih melepasi paras bahaya pada sembilan meter walaupun surut sedikit kepada 9.12 meter berbanding 9.15 meter pagi semalam.

Sungai-sungai lain masih belum mencecah paras amaran dan tiada jalan utama ditutup berikutan banjir manakala cuaca di Kelantan petang semalam mendung. — Bernama