Penurunan tarif elektrik dapat respons amat baik

0

KUCHING: Pengumuman penurunan tarif elektrik oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan kelmarin ternyata mendapat respons yang amat baik bukan sahaja dalam kalangan wakil rakyat tetapi juga pemimpin parti politik.

Timbalan Ketua Pemuda BN Negeri Gerald Rentap Jabu berkata, dengan langkah itu ia pastinya akan meringankan beban rakyat secara keseluruhan.

“Kami (sayap Pemuda) menyambut baik pengumuman Ketua Menteri untuk menurunkan tarif elektrik terutamanya kepada kawasan luar bandar

“Ini pastinya memberi manfaat kepada rakyat kerana ia mengambil kira pengguna domestik termasuk golongan berpendapatan rendah,” katanya ketika ditemui pada satu sidang media yang diadakan di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, kelmarin.

Rentap yang juga Timbalan Ketua Pemuda PBB berkata, ia juga adalah langkah sewajarnya, selain subsidi RM20 yang diperkenalkan sebelum ini.

“Memandangkan Sarawak Energy Berhad (SEB) telah dapat mengurangkan tarif elektrik, kita berharap ia akan terus memberi manfaat kepada rakyat terutama pengguna domestik khasnya rakyat secara keseluruhan,” katanya.