Penurunan tarif elektrik sudah lama diidamkan

0

KUCHING: Lebih ramai rakyat negeri ini akan mampu membayar bil elektrik selepas kerajaan mengumumkan penurunan tarif elektrik berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, langkah bijak itu memang sudah lama diidamkan rakyat Sarawak dan ia adalah pendekatan terbaik mengurangkan beban rakyat.

Malah, menurutnya, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem merupakan pemimpin yang berjiwa rakyat kerana memahami masalah yang dihadapi mereka.

“Lama sudah kita menunggu. Inilah kepimpinan yang betul dan memikirkan perasaan rakyat.

“Sebelum ini, saya selalu merungut di belakang sahaja tetapi Ketua Menteri nampaknya boleh menghidu rungutan kita.

“Saya mungkin boleh bayar bil elektrik tetapi ramai rakyat di luar yang tidak mampu dan ini adalah langkah bijak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penurunan tarif elektrik yang diumumkan Adenan baru-baru ini.

Terdahulu semalam, Wan Junaidi melawat tapak projek pembinaan gereja di Bandar Baru Samariang.

Selain itu, beliau berharap kerajaan negeri dapat mengkaji semula tarif elektrik atau caj pembangunan untuk industri dalam usaha menarik lebih ramai pelabur.

“Ini kerana pada sekarang caj pembangunan begitu tinggi. Saya berharap kerajaan dapat kaji semula untuk mengkaji pelabur,” jelasnya.

Menurutnya lagi, kebanyakan pelabur akan menanam modal di kawasan yang mengenakan caj elektrik murah.

“Ini penting juga untuk menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana. Disebabkan caj sekarang menyebabkan mereka hadapi kesukaran.

“Kita tidak boleh hanya bergantung kepada syarikat gergasi sahaja kerana syarikat Bumiputera akan mendapat kesan,” katanya.