Polis marin wilayah 5 catat nilai rampasan rm18 juta

0

TAHNIAH: Kalai (kiri) menyampaikan sijil APC kepada salah seorang pegawai polis pada majlis tersebut.

KUCHING: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 melipatgandakan operasi tahun ini dengan mencatatkan nilai rampasan mencecah RM18 juta berbanding hanya RM4.5 juta tahun lepas.

Komander PPM Wilayah 5 ACP Kalai Chelvan berkata, sebanyak 80 kes berjaya dicatatkan tahun ini dengan Akta Perhutanan merekodkan bilangan tertinggi sebanyak 27 kes, diikuti Akta Rumah Judi Terbuka (20 kes) dan Akta Kawalan Bekalan (10 kes).

Sungguhpun begitu, beliau memberitahu Akta Tanah dan Galian merupakan kes yang mencatatkan nilai rampasan tertinggi iaitu sebanyak RM10 juta dengan tujuh kes dilaporkan sehingga Oktober tahun ini.

“Sehingga Oktober, kita telah melancarkan pelbagai operasi dan melakukan sebanyak 80 tangkapan serta mencatatkan nilai rampasan mencecah RM18 juta berbanding hanya 24 tangkapan serta RM4.5 juta nilai rampasan tahun lepas.

“Daripada statistik yang kita ada, kesalahan di bawah Akta Tanah dan Galian seperti aktiviti menggali pasir secara haram mencatatkan nilai rampasan tertinggi iaitu sebanyak RM10 juta daripada tujuh kes yang dilaporkan.

“Akta Perhutanan melibatkan aktiviti pembalakan haram mencatatkan nilai rampasan kedua tertinggi iaitu RM6.7 juta dengan tangkapan sebanyak 27 kes berbanding hanya lapan kes tahun lepas,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan PPM Wilayah 5 di sini, semalam.

Menurut Kalai, seramai 240 anggota dan pegawai PPM Wilayah 5 telah ditempatkan di seluruh negeri ini untuk menjaga keselamatan negara.

“Tidak dinafikan kita memang ber-hadapan masalah kekurangan anggota selain turut mengalami masalah logis-tik, tetapi dengan kekuatan anggota kita yang sedia ada, kita akan berusaha untuk memastikan keselamatan negara dan rakyat terjamin,” kata Kalai.

Sementara itu, bercakap mengenai persediaan menghadapi banjir, Kalai memberitahu pihaknya telah menem-patkan seramai 133 anggota mereka di seluruh negeri.

“Kita telah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir di selu-ruh negeri. Banjir memang susah kita nak ramal, tapi kita bersedia mengha-dapinya,” jelas Kalai.

Pada perhimpunan itu, Kalai turut menyempurnakan upacara pemakaian pangkat baharu selain menyampaikan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.