Pongnat: Sarawak perlu manfaatkan fasiliti golf

0

KUCHING: Sarawak perlu memanfaatkan fasiliti golf yang ada di seluruh negeri ini dengan melahirkan lebih ramai pemain remaja yang mampu bersaing pada kejohanan peringkat antarabangsa.

Pengerusi Persekutuan Sukan Antarabangsa Thailand (ISF), Pongnat Vatanasak berkata Sarawak memiliki banyak fasiliti golf yang berkualiti dan kelebihan itu harus digunakan sebaiknya untuk merancakkan program pembangunan sukan tersebut.

Pongnat mengetuai pasukan ISF Thailand pada Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Sarawak edisi ke-16 yang melabuhkan tirainya di Kelab Golf Sarawak (KGS) kelmarin.

“Saya telah menyertai kejohanan ini selama 13 tahun berturut-turut dan saya cukup berpuas hati dengan fasiliti di sini.

“Cuma saya agak sedih apabila melihat tidak ramai pemain tempatan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa dan ini amat merugikan Sarawak kerana mereka mempunyai fasiliti yang baik,” katanya ketika ditemui di KGS kelmarin.

Bagaimanapun, Pongnat mengakui sukan golf sememangnya memerlukan kos yang besar dan ini menghadkan pemain yang berbakat.

Sehubungan itu, beliau menyarankan Persatuan Golf Sarawak (SGA) duduk semeja dengan semua persatuan bahagian bagi membincangkan inisiatif merancakkan program pembangunan peringkat akar umbi.

“SGA perlu tampil dengan inisiatif membantu pemain-pemain yang berbakat mendapatkan

latihan secara berterusan. Selain itu, mereka juga perlu memperbanyakkan penganjuran kejohanan remaja sebagai platform pendedahan,” katanya.

Beliau turut menyarankan agar sukan itu diajar di sekolah-sekolah bagi menimbulkan minat kalangan pelajar dan guru.