Sarawak akan contohi Jepun perkasa perkhidmatan awam

0

KUCHING: Sarawak mahu mempelajari cara memperkasakan perkhidmatan awam dalam negeri untuk menjadi yang terbaik di rantau ini dari negara matahari terbit, Jepun.

Demikian ujar Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani dengan menegaskan perkhidmatan kompeten penjawat awam akan menjadi fokus utama pihaknya.

“Mereka adalah pelaksanaan jentera pemangkin pelbagai program dan projek pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

“Justeru, kita membawa pakar perkhidmatan awam dari negara Jepun kerana mereka adalah yang terbaik di bahagian timur dan kita tidak seharusnya sentiasa meniru gaya barat dalam menjalankan perkhidmatan awam di sini,” katanya ketika mempengerusikan sidang media di Bangunan Wisma Bapa Malaysia semalam.

Kertas kerja yang bakal dibentangkan ialah ‘Transformasi Kepimpinan’ oleh Profesor Emeritus Akira Nakamura, Persidangan Video bertajuk ‘Pengurusan Prestasi ke arah masa depan di dalam Transformasi Perkhidmatan Awam’ oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Balanced Scorecard Institute USA dan banyak lagi.

Persidangan tersebut akan diadakan di Hotel Pullman pada 25 November ini.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa turut dijemput untuk merasmikan persidangan tersebut, katanya.

Beberapa anugerah akan disampaikan sepertiAnugerah Pasukan, Anugerah Aktiviti Fokus Kekunci, Anugerah Kecemerlangan Perkhidmatan Kaunter, dan Anugerah Pegawai Teladan.

Hari Perkhidmatan Awam Negeri itu yang julung kali akan disertai Ketua Menteri baharu Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pada 24 November ini.

Seramai lebih kurang 5,000 kakitangan awam bakal menghadiri majlis tersebut.