Tarif baharu elektrik, pengusaha IKS perlu diberi perhatian: Tan

0

MIRI: Dewan Perniagaan dan Industri Cina Miri (MCCCI) turut menyambut baik langkah Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menurunkan tarif elektrik bagi pengguna domestik di negeri ini berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.

Timbalan pengerusinya, Tan Jin Kok berkata, bagaimanapun berita gembira itu sepatutnya merangkumi pengguna industri khususnya pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS).

Jelasnya, MCCCI meminta agar kerajaan negeri turut mempertimbang penurunan tarif elektrik bagi pengguna industri di negeri ini.

“Ini sekali gus membantu mengurangkan beban pengusaha, berikutan keadaan ekonomi masih tidak menentu ketika ini.

“Kita amat gembira dengan pengumuman tersebut, tetapi kami turut berharap kerajaan negeri boleh mempertimbang tarif sama untuk pengguna industri.

“Terutamanya dalam kalangan pengusaha IKS dan peniaga, kerana ia boleh mengurangkan beban mereka, berikutan kos lain turut meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sidang akhbar di pejabatnya di MCCCI di sini, kelmarin.

Menurut Tan, menerusi Hidroelektrik Bakun, kerajaan memberi kelonggaran kepada pelabur luar negara dengan mengena tarif lebih rendah berbanding pengusaha atau pelabur tempatan.

Beliau mengakui walaupun langkah itu bijak kerana mampu menarik ramai pelabur asing sehingga kerajaan memperoleh nilai pelaburan RM30 bilion menerusi SCORE, namun pengusaha tempatan dalam IKS harus diberi perhatian dan pertimbangan.

“Ini kerana IKS tumbuh subur di negeri ini malah turut menjana pendapatan memberangsangkan sekali gus melonjak lagi ekonomi Sarawak,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Tan memberitahu MCCCI amat yakin dengan pentadbiran baharu diterajui Adenan, yang tampil dengan pendekatan lebih mesra rakyat dan membuah banyak hasil serta manfaat untuk rakyat.

Malah MCCCI juga, katanya, tidak terkecuali, apabila turut menerima peruntukan kerajaan negeri berjumlah RM150,000 setiap tahun sejak 20 tahun lalu bagi membantu membiayai aktiviti dijalankan sepanjang tahun.

“Ini membuktikan keprihatinan kerajaan yang tidak meminggir mana-mana pihak termasuk masyarakat peniaga.

“Malah Adenan turut memberi peruntukan RM3 juta untuk semua sekolah menengah swasta di negeri ini.

“Ia menjadi bukti beliau seorang yang menekankan kepentingan pendidikan untuk rakyat di negeri ini,” jelas Tan.

Tan memberitahu langkah yang diambil oleh Adenan mencatat satu sejarah baharu bagi Sarawak dan untuk kerajaan negeri yang dipimpin beliau.

“Detik bersejarah ini memberi keyakinan kepada MCCCI bahawa pentadbiran beliau akan terus kukuh. Pada masa yang sama kerajaan negeri bakal menerima sokongan kuat MCCCI,” tambah beliau.