Tiada lagi subsidi RON95 dan diesel mulai 1 Disember ini

0

PUTRAJAYA: Mulai 1 Disember, penetapan harga runcit untuk petrol RON95 dan diesel adalah mengikut kaedah pengapungan terkawal, umum Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek.

Kaedah pengapungan terkawal yang diputuskan Kabinet semalam adalah sebagaimana pelaksanaan penetapan harga runcit RON97 sejak Julai 2010, katanya.

Berikutan itu, mulai tarikh itu juga tiada lagi subsidi bagi kedua-dua bahan bakar itu memandangkan harga pasaran dunia lebih rendah berbanding harga di pam, katanya.

Melalui pengapungan terkawal, katanya, purata perubahan kos produk akan menentukan penetapan harga bagi bulan berikutnya.

“Ini bermakna, jika harga pasaran minyak mentah dunia meningkat, harga runcit RON95 dan diesel juga akan meningkat. Begitu juga sebaliknya,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Harga runcit petrol RON95 kini ialah RM2.30 seliter dan diesel RM2.20 seliter.

Hasan berkata harga runcit produk petroleum di Malaysia ditentukan melalui kaedah Mekanisme Harga Automatik (APM) sejak 1983.

Melalui APM, kerajaan akan menetapkan harga runcit pada satu paras tertentu iaitu perubahan kos produk tidak akan mengubah harga runcit.

Beliau memberikan contoh harga purata RON95 yang direkodkan pada pasaran dunia dari 1 hingga 19 Nov 2014 ialah RM2.27 seliter, berbanding harga di pam RM2.30.

Hasan berkata penetapan harga RON95 dan diesel pada 1 Dis nanti bergantung pada harga purata pasaran minyak dunia sepanjang November.

“Dalam hal ini kerajaan akan memantau harga pasaran pada 20 hingga 30 November dan jumlah sebenar akan menentukan purata harga runcit pada bulan Disember,” katanya.

Hasan juga tidak menolak kemungkinan harga runcit RON95 pada Disember akan lebih rendah daripada harga semasa sekiranya harga pasaran minyak dunia terus menunjukkan trend penurunan.

“Jika trend ini berlarutan adalah dijangkakan harga runcit RON95 bagi bulan Disember akan dikurangkan sewajarnya berdasarkan formula APM,” katanya.

Kepada satu soalan, Hasan berkata penetapan harga runcit RON95 dan diesel melalui kaedah pengapungan terkawal akan dibuat secara bulanan.

Beliau berkata kerajaan akan mengikuti perkembangan pasaran harga produk berasaskan kos setiap masa, harga pasaran dunia dan kadar pertukaran mata wang untuk menetapkan harga runcit petrol dan diesel.

“Kita akan pantau setiap hari harga di pasaran dunia tetapi kita ambil purata sebulan dan waktu itu kerajaan buat keputusan sama ada naik atau turun.

“Harga mungkin turun mungkin naik tetapi trend sejak bulan-bulan lepas stabil dan menurun,” katanya.

Hasan berkata kajian bagi pelaksanaan pengapungan terkawal harga petrol RON95 dan diesel itu telah dilakukan oleh kerajaan sebelum memutuskan pelaksanaannya.

“Langkah ini membuktikan hasrat kerajaan untuk memastikan rakyat menikmati manfaat sepenuhnya berikutan penurunan harga minyak mentah dunia,” katanya.

Ditanya sama ada pelaksanaan kaedah pengapungan terkawal adalah muktamad, Hasan berkata kerajaan proaktif dan sensitif terhadap keadaan semasa berdasarkan harga pasaran dunia dan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

“Pendekatan kita adalah untuk meletakkan rakyat didahulukan. Jadi apa juga yang kita boleh jimat adalah untuk kesejahteraan rakyat,” katanya. — Bernama