116 kanak-kanak dari dua rumah kebajikan diraikan pada Majlis Titian Kasih

0

SUMBANGAN: Tun Taib (tengah) bersama Toh Puan Ragad (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada 116 kanak-kanak dari Rumah Kanak-Kanak Datuk Ajibah Abol, Sri Aman dan Rumah Kanak-Kanak Batu 12 Kuching di Astana Negeri semalam.

KUCHING: Seramai 116 kanak-kanak dari dua rumah kebajikan diraikan semalam pada Majlis Titian Kasih anjuran Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).

Mereka  terdiri daripada 17 kanak-kanak dari Rumah Kanak-Kanak Datuk Ajibah Abol, Sri Aman dan 99 kanak-kanak dari Rumah Kanak-Kanak Batu 12 Kuching.

Berlangsung di Dewan Besar, Astana Negeri di sini, majlis tersebut lebih bermakna dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Toh Puan Ragad Kurdi Taib.

Dalam ucapan ringkasnya, Pengerusi SEDC Datuk Talib Zulpilip berkata majlis itu merupakan acara tahunan di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) SEDC.

Tujuannya adalah untuk mendekati masyarakat terutama kumpulan yang kurang bernasib baik dan memerlukan.

“Program ini telah dimulakan pada 2008 sebagai aktiviti tahunan SEDC dan dianjurkan sama ada di Astana atau tempat-tempat lain termasuk di rumah kebajikan kanak-kanak itu sendiri.

“Selain berbudi kepada mereka, majlis ini merupakan peluang untuk kanak-kanak meluangkan masa dengan Tun dan Toh Puan selaras dengan polisi Pemimpin Bersama Rakyat,” katanya.

Tambah Talib yang juga Menteri Muda Pelancongan, sebahagian daripada kanak-kanak berkenaan adalah yatim piatu, gelandangan atau menjadi mangsa keruntuhan institusi keluarga.

“Objektif kami membawa mereka ke majlis ini adalah untuk memberi layanan baik serta menyediakan mereka dengan jaminan bahawa kerajaan dan agensi seperti SEDC adalah prihatin terhadap keperluan mereka.

“Pada masa yang sama kami ingin mereka tahu bahawa kerajaan dan agensi seperti SEDC bersedia untuk menyumbang kepada mereka dengan cara yang mudah iaitu menggembirakan mereka.

“Dalam situasi mereka ketika ini kami berharap sumbangan kami ini akan dihargai dan diingati oleh mereka semua,” katanya.

Bagi menceriakan majlis semalam, para tetamu dihiburkan dengan persembahan tarian dan nyanyian oleh kanak-kanak dari dua rumah kanak-kanak tersebut serta wakil SEDC.