Aplikasi WhatsApp medan bahas Mahasiswa PEMANAS 2014

0

KUALA LUMPUR: Aplikasi pesanan ringkas WhatsApp menjadi medan untuk berbahas dan bertukar-tukar pandangan dalam kalangan mahasiswa dalam dan luar negara yang menyertai Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional (PEMANAS) 2014.

Setiausaha Kelab UMNO Luar Negara Datuk Shariff Hamid berkata mereka memanfaatkan aplikasi itu dengan mewujudkan lapan kumpulan WhatsApp bermula 16 Nov lalu untuk mahasiswa berbahas mengenai empat isu yang berkepentingan kepada golongan muda.

“Setiap kumpulan terdiri daripada 20 hingga 30 mahasiswa yang dipilih oleh universiti dalam dan luar negara berdasarkan kebolehan berbahas dan pengucapan awam serta mempamerkan sikap kepimpinan yang tinggi.

“Mereka ‘ditempatkan’ dalam kumpulan WhatsApp dan setiap kumpulan diberi fokus berbeza iaitu ekonomi, pendidikan, politik dan agama untuk dibahaskan,” katanya kepada Bernama semasa ditemui pada persidangan Pemanas di sini, semalam.

Persidangan itu diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2014 yang berlangsung 25 hingga 29 Nov ini.

Menjelaskan lanjut bagaimana ‘bahas secara maya’ itu berlangsung, Shariff  berkata ia diadakan tanpa batasan masa dan setiap kumpulan dikendalikan seorang moderator yang dilantik daripada Alumni Kelab UMNO Luar Negara.

“Mahasiswa dalam kumpulan bahas itu ada yang menuntut di Jordan, Rusia, United Kingdom, New York, Amerika Syarikat selain institut pengajian tinggi (IPT) tempatan.

“Kepelbagaian ini menyebabkan tiada tempoh masa ditetapkan kerana kita faham dengan perbezaan masa dan juga kesibukan mereka sebagai mahasiswa dengan tugasan dan jadual kuliah,” katanya.

Shariff berkata idea mewujudkan kumpulan WhatsApp juga membolehkan mahasiswa luar negara untuk tidak ketinggalan memberikan pandangan dengan mengambil kira pengalaman yang diperoleh dari luar negara.

Idea, cadangan dan dapatan daripada bahas itu akan diusulkan untuk sesi debat hari ini, oleh mahasiswa terpilih yang akan dijalankan dengan mengambil pendekatan perbahasan ala Parlimen, tambah Shariff. — Bernama