Kerja naik taraf Lebuh India mungkin dijalankan hingga Jun tahun depan

0

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) telah memulakan kerja-kerja penambahbaikan Lebuh India bernilai RM4.3 juta yang bakal siap dalam tempoh dua bulan.

Bagaimanapun, menurut Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai, projek pembinaan laluan berbumbung itu mungkin dipanjangkan tempohnya sehingga Jun tahun depan.

“Ia merupakan laluan berbumbung pertama seumpamanya di negara ini yang mana pihak DBKU telah menjadualkan semula projek berkenaan walaupun kerja pembinaan sudah dimulakan sebelum ini.

“Kadang kala projek sudah berjalan tetapi kita mahu melakukan sebaik mungkin agar ia nampak cantik selari dengan usaha menyahut cabaran Indeks Pencapaian Utama (KPI) DBKU yang mahu memartabatkan bandar raya Kuching sebagai sebuah Bandar Raya Cantik, Bersih dan Selamat serta popular di Asia menjelang 2017,” ujarnya pada sidang media Lawatan Media Penaiktarafan Lebuh India di sini semalam.

Abang Abdul Wahap berkata, pihaknya sedia maklum tentang ketidakselesaan akibat bunyi bising, debu dan sebagainya daripada warga kota dan para pekedai di kawasan berkenaan.

Namun semalam, Jawantankuasa Peniaga-Peniaga Lebuh India dan para pegawai DBKU yang menjalankan tinjauan mendapat maklum balas serta jalan penyelesaian dengan menukar masa pembinaan laluan berbumbung berkenaan.

“Kemungkinan kerja-kerja naik taraf harus dilakukan pada waktu malam kerana kurang aktiviti yang berlaku di sekitar kawasan ini demi semangat komuniti,” ujarnya.

Setakat ini, kerja pembinaan bumbung berukuran 150 meter panjang, 10 meter lebar dan antara lapan hingga 12 meter tinggi dijalankan dari jam 8 pagi hingga 5 petang dan turut dipanjangkan sehingga jam 10 malam.

Laluan berbumbung itu akan dibina dengan reka bentuk yang cantik, menarik dan moden sebagai kemudahan kepada warga kota dan pelancong asing.

Ia diperbuat menggunakan struktur keluli dengan bumbung ‘polycarbonate’ dan aluminium ‘louvers.’

Pihak pemaju projek turut mengambil kira keperluan keselamatan dan pencegahan kebakaran, pengudaraan yang kondusif, pencahayaan, nilai sejarah dan seni bina yang terdapat di sekitar kawasan itu.

Penyediaan sistem penyimpanan air hujan juga sebagai insentif bagi menggalakkan konsep kitar semula dan teknologi hijau.

Sistem perparitan dan saliran di kawasan berkenaan turut dinaik taraf oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang akan disalurkan terus ke sistem saliran berpusat berpangkalan di Bintawa.

Sementara itu, Abang Abdul Wahap memberi amaran kepada para pekedai yang memperbesarkan kawasan perniagaan mereka secara haram tanpa pemberitahuan dan persetujuan pihak majlis.

Kawasan yang dikenal pasti ialah di Jalan Rubber, Jalan Gambier dan Jalan Electra House yang melanggar Ordinan Bangunan 1994 dan boleh didakwa serta dikenakan denda.

“Kita akan mengambil tindakan mahkamah sekiranya para pekedai enggan merobohkan semula bangunan kedai yang diperbesarkan secara haram itu,” tegasnya.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Peniaga-Peniaga Lebuh India yang juga Ahli Jawatankuasa Pentadbiran DBKU Datuk Wee Hong Seng.