Pastikan jenama BN, Pemuda BN terus berkembang

0

KUCHING: Pemuda Barisan Nasional (BN) perlu bekerja untuk memastikan jenama BN dan Pemuda BN terus relevan dan berkembang sepanjang masa.

Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin berkata, BN dan Pemuda BN bukan satu jenama yang wujud hanya pada pilihan raya.

Sebaliknya, menurut Khairy, Pemuda BN bekerja lebih awal dengan satu kesepakatan iaitu meletakkan kepentingan seluruh rakyat sebagai satu keutamaan BN.

“Sebab itu, kita adakan Retreat Pemuda BN untuk membolehkan kita bercakap dari hati ke hati.

“Bukan mudah untuk kita menguruskan 13 parti komponen tetapi kita telah berjaya membuktikan kepada rakyat dalam kepelbagaian itu, pilihan terbaik untuk rakyat Malaysia tetap BN,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena Retreat (Pemukiman) Pemuda BN yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini malam kelmarin.

Mengulas mengenai program tersebut, Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO dan Menteri Belia dan Sukan berkata, ia yang pertama diadakan dalam tempoh masa lama di Sarawak atas keputusan kolektif.

Tujuannya, adalah untuk memastikan aktiviti atas nama Pemuda BN dan mesej Pemuda BN dapat dibawa ke seluruh negara dan bukannya berpusat di satu tempat, jelasnya.

“Satu tujuan Retreat ini adalah untuk menyatukan Pemuda BN dan bahawasanya Pemuda dan BN tidak hanya satu jenama yang wujud pada pilihan raya sahaja.

“Sebab itu tema Retreat ini ‘Jiwa Politik Masa Hadapan Gagasan Malaysia’ supaya kita memahami apabila kita berjuang di bawah nama BN kita berjuang untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.