Promosi Sarawak melalui teknologi GPS

0

Agensi pelancongan diseru kerjasama dengan kerajaan, kemas kini laman sesawang

Oleh Jessica Jawing //

KUCHING: Agensi pelancongan di negeri ini dipelawa untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam aktiviti mempromosikan Sarawak melalui teknologi GPS menerusi amalan kemas kini laman sesawang mereka dari semasa ke semasa.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datu Len Talif Salleh berkata, teknologi GPS merupakan platform terbaik untuk mempromosikan Sarawak dengan maklumat terkini kepada dunia luar.

“Kita harus menggunakan teknologi GPS misalnya untuk mempromosi tempat dengan menyediakan maklumat terkini di tempat kita.

“Justeru, saya mempelawa agensi pelancongan seperti Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan Tourism Malaysia supaya dapat bersama kita dalam program seperti Map Creator Competition 2014 (SMCC 2014),” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian penutupan dan penyampaian hadiah SMCC 2014 anjuran Politeknik Kuching Sarawak (PKS) yang dihadiri Pengarah Kanan (Akademik) Jabatan Pengajian Politeknik Mohd Ghaus Ab Kadir dan Pengarah Politeknik Kuching Clara Ong di sini, semalam.

Sehubungan itu, kata Len Talif, pertandingan yang diadakan amat penting sebagai wadah untuk mempromosikan tempat-tempat di Sarawak dengan maklumat terkini.

Ia sekali gus menyediakan panduan terbaharu kepada pelawat-pelawat yang datang ke negeri ini melalui peta atau GPS yang disediakan, katanya.

Menteri Muda Alam Sekitar itu berkata, pertandingan tersebut mampu memupuk pemikiran kritis, kreatif dan inovatif dalam kalangan para pelajar dan ahli akademik yang terlibat terutamanya dalam bidang geomatik.

Bagaimanapun, katanya, dalam pertandingan itu peserta perlu peka dengan nama jalan, tempat menarik dan penting untuk dimuat naik dalam aplikasi peta yang mana seterusnya dapat digunakan oleh masyarakat seluruh dunia.

“Selain itu, saya yakin pertandingan ini sebenarnya dapat membantu menjadikan Sarawak lebih mudah untuk dikenali dan diakses bagi tujuan pelancongan dan penyelidikan.

“Sarawak merupakan negeri yang penuh dengan keunikan dan keindahan semula jadi flora dan fauna serta ramai pelawat bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia teruja datang ke negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Ong dalam ucapannya berkata, pertandingan julung kali diadakan di Sarawak itu mendapat sambutan yang baik daripada sekolah serta institut pengajian tinggi awam dan swasta, iaitu 25 sekolah dan sembilan IPTA/IPTS.

“Pertandingan ini telah berlangsung dari 1 hingga 30 September 2014 bersama HERE Malaysia Sdn Bhd, Land Surveyors Board Sarawak (LSBS), Royal Institution Surveyors Malaysia (RISM) dan The Association of Consulting Licensed Sarawak (ACLS).

“Daripada pertandingan ini, kita telah dapat memuat naik sebanyak 180,000 data dalam HERE MAP bagi bahagian Samarahan, Sibu, Bintulu dan Miri iaitu sumbangan muat naik tertinggi pertambahan data untuk rantau Asia Timur Selatan pada September 2014,” katanya.

Len Talif pada majlis yang sama turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), Surat Niat (LOI-Letter of Intent) dan Perjanjian Komuniti antara PKS dan pihak industri.