SPDP rai pengamal media, harap kerjasama diteruskan

0

KUCHING: Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) meraikan pengamal media pada majlis makan malam khas di sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin.

Majlis diserikan dengan kehadiran Presiden SPDP Datuk Seri Tiong King Sing yang turut mengagihkan geran sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) yang diwakili Presidennya, Sulok Tawie.

Ahli Parlimen Bintulu itu dalam ucapan ringkasnya berharap kerjasama erat dengan pengamal media dapat diteruskan dalam membantu menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat.

Majlis itu turut dihadiri Ahli Parlimen Mas Gading Anthony Nogeh, Ahli Parlimen Baram Anyie Ngau dan beberapa ahli majlis SPDP.

Pada majlis itu, Tiong mengambil peluang untuk beramah mesra dengan pengamal media di sini.

Sementara itu, pertandingan karaoke yang turut diadakan pada majlis itu dimenangi Robert Kenneth dari Bernama dengan lagu ‘Camelia,’ sekali gus membawa pulang wang tunai RM1,000.

Manakala, tempat kedua dan ketiga dimenangi Peter Sibon dan Kadam Saai, kedua-duanya dari Borneo Post yang masing-masing membawa pulang wang tunai RM750 dan RM500.

Selain itu, majlis tersebut dimeriahkan lagi dengan cabutan tiket bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah berupa barangan elektrik dan elektronik.