500 pesakit tunggu periksa kardiovaskular

0

Disebabkan sambutan menggalakkan, kekerapan pemeriksaan ditingkatkan bulan depan

Oleh Borhaniza Ali Basah //

SIBU: Lebih 500 pesakit dalam senarai menunggu bagi program pemeriksaan saringan risiko kardiovaskular di Klinik 1Malaysia (K1M) Jalan Bandong di sini semalam.

Pakar Kardiologi Dr Annuar Rapa’ee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata disebabkan sambutan amat menggalakkan daripada orang ramai, kekerapan pemeriksaan program tersebut ditingkatkan bulan depan.

K1M Jalan Bandong di sini adalah pertama dan satu-satunya di negara ini dilengkapi dengan mesin ‘echocardiography’ untuk pemeriksaan saringan risiko kardiovaskular.

Program tersebut diluluskan Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi usaha dan inisiatif Dr Annuar.

“Lebih 500 orang mendaftar dalam program ini, justeru saya meningkatkan jumlah hari, mungkin dalam dua kali seminggu.

“Saya berharap lebih ramai pesakit mendapatkan pemeriksaan ini, mungkin lebih kurang 20 orang sehari,” katanya.

Menurutnya daripada 500 orang itu, masyarakat Cina merupakan yang teramai dalam senarai menunggu bagi mendapatkan pemeriksaan saringan risiko kardiovaskular tersebut.

Jelasnya, ini adalah kerana masyarakat Cina merupakan golongan yang sangat mementingkan aspek kesihatan.Selain itu, beliau menjelaskan bahawa serangan jantung masih menjadi pembunuh nombor satu di negara ini.

“Ia merupakan pembunuh nombor satu bagi kematian secara mengejut yang juga menyerang golongan muda,” jelasnya.

Ditanya mengenai program itu, Dr Annuar berkata ia adalah untuk menyaring pesakit bagi mengenal pasti sama ada mereka mempunyai penyakit jantung.

Pada akhir pemeriksaan, pesakit dimaklumkan mengenai langkah-langkah mengurangkan risiko serangan jantung.

Mereka disyaki menghidap penyakit jantung akan dirujuk sama ada ke Hospital Sibu atau Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak.

K1M Jalan Bandong dibuka tahun lalu menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan kepada kira-kira 15,000 penduduk sekitar kawasan itu dengan purata bulanan seramai 1,200 orang pesakit datang ke K1M tersebut.