Adenan rasmikan pembukaan Hotel Promenade

0

BINTULU: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem telah diberi penghormatan merasmikan Hotel Promenade yang terletak di Bintulu Sentral, petang semalam.

Adenan yang ditemani isteri Datin Patinggi Puan Sri Datuk Jamilah Anu, disambut Ketua Pegawai Operasi Hotel Promenade Alex Cham berserta tetamu lain.

Berucap pada majlis itu, Alex berkata pembukaan hotel itu dianggap tepat pada masanya kerana Bintulu mengalami kemajuan pesat dalam pelbagai sektor khsususnya perindustrian serta industri hiliran.

“Pembukaan hotel ini secara tidak langsung telah merancakkan lagi sektor perkhidmatan di bahagian ini terutama industri perhotelan dan hospitaliti yang semakin mendapat tempat selaras dengan kemajuan semasa,” katanya.

Jelasnya, terbinanya hotel itu akan membantu dalam  menyediakan perkhidmatan bertaraf antarabaangsa khususnya kepada pelawat dalam dan luar kawasan Bintulu.

Sambil menyifatkan Bintulu semakin sesak dengan pekerja dari luar yang meraih rezeki dalam pelbagai sektor khususnya perindustrian berat dan sederhana, Alex berharap industri perhotelan turut berkembang bagi menampung keperluan terhadap penginapan di Bintulu.

“Seperti kita semua maklum, saya mewakili pihak pengurusan hotel berjanji memberi perkhidmatan terbaik bagi kepuasan pelanggan yang menginap serta menjamu selera di sini.

“Kami berjanji layanan mesra pihak hotel secara tidak langsung membantu dalam mencerminkan sikap sebenar warga Bintulu yang peramah dengan tetamu yang datang ke Kota Tenaga Sarawak ini,” katanya.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi) Datuk Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip dan Tan Sri Yee Ming Seng antara yang hadir.