Bangun dan perkasa usahawan wanita: Rohani

0

MENARIK: Rohani (kiri) melihat pakaian tradisional kaum Dayak yang dihasillkan oleh usahawan wanita ketika melawat gerai pameran sempena Seminar Keusahawanan Wanita 2014 di Kuching, semalam.

Jabatan Pembangunan Wanita melalui Biro Wanita Sarawak bekerjasama dengan SEDC mulai tahun depan

Oleh Nick Fletcher //

KUCHING: Jabatan Pembangunan Wanita melalui Biro Wanita Sarawak akan bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) mulai tahun depan untuk membangunkan dan memperkasakan usahawan wanita di negeri ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata melalui kerjasama tersebut, pelbagai program baharu akan diwujudkan khusus untuk usahawan wanita Sarawak.

“Selain daripada penggunaan 14 Pusat Inkubator dan Bimbingan Usahawan di seluruh Sarawak, usahawan-usahawan wanita akan diberikan pendedahan kepada selok-belok perniagaan seperti kaedah untuk mendaftarkan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Keusahawanan Wanita 2014 di sini, semalam.

Terdahulu dalam ucapannya, Rohani berkata kerajaan telah membuka banyak peluang terutama kepada wanita untuk menceburi bidang keusahawanan.

Malah, katanya peluang-peluang tersebut telah digunakan sebaik mungkin oleh golongan wanita di negara ini di mana rekod Amanah Ikhtiar Malaysia  menunjukkan ramai wanita telah muncul sebagai usahawan berjaya.

“Kejayaan mereka boleh dilihat melalui komitmen yang mereka tunjukkan melalui pembayaran pinjaman tanpa ada masalah.

“Saya dimaklumkan bahawa sehingga 30 September 2014, seramai 347,907 usahawan wanita telah membuat pinjaman dengan Amanah Ikhtiar Malaysia dan daripada jumlah tersebut, seramai 36,889 orang merupakan usahawa wanita Sarawak.

“Melalui rekod, kesemua mereka ini telah membuat pembayaran balik pinjaman dengan baik,” katanya.

Selain itu, katanya agensi lain seperti TEKUN juga menyediakan tambahan dana pembiayaan yang mana RM50 juta diperuntukkan kepada Program Pembangunan Usahawan Wanita Muda Profesional iaitu pembiayaan kepada 5,000 peminjam wanita profesional.

Manakala seminar anjuran bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan Biro Wanita Sarawak telah dihadiri kira-kira 300 peserta yang terdiri daripada usahawan wanita di negeri ini.

Objektifnya adalah untuk memberi pendedahan mengenai senario industri kecil sederhana dan peluang-peluang perniagaan bagi wanita dalam bidang ini.

Di samping itu, ia juga bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kefahaman peserta mengenai pengurusan perniagaan yang strategik dan berkesan serta menyebarluaskan maklumat tentang program atau insentif yang ditawarkan untuk membantu usahawan wanita menerusi penggunaan teknologi.