Bayaran bulanan RMR Taman Mesra Bako dikurang 70 peratus

0

KUCHING: Seramai 165 pemilik Rumah Mesra Rakyat (RMR) Taman Mesra Bako di sini bakal menikmati pengurangan bayaran bulanan bagi kediaman masing-masing sebanyak hampir 70 peratus.

Berita gembira itu diumumkan oleh Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg semasa hadir pada Majlis Penghargaan dan Ucapan Terima Kasih Taman Mesra Bako di sini, petang semalam.

Menurut Abang Johari, pengurangan bayaran bulanan dan kos pinjaman seunit itu berikutan pemansuhan bagi kerja penimbusan tapak dan penanaman cerucuk di taman tersebut.

“Pemansuhan kos bagi kerja penimbusan dan kerja penanaman cerucuk terlibat berjumlah RM3,383,200 dan kos itu ditanggung sepenuhnya oleh Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC),” katanya.

Katanya, melalui pengurangan itu pemilik untuk lot paling besar iaitu lot nombor 824 hanya perlu membayar bayaran bulanan sebanyak RM153.28 berbanding RM447.49 sebelum ini.

Manakala bagi lot paling kecil iaitu lot nombor 747 pula, pemilik hanya membayar RM122.15 sahaja berbanding RM234.54 sebelum ini (pengurangan hampir 50 peratus).

“Kos pinjaman seunit rumah turut dikurangkan. Untuk lot paling besar melibatkan keluasan tapak 1,049.8 meter persegi, pemilik hanya perlu membayar balik kos pinjaman sebanyak RM40,822 berbanding RM66,454 sebelum ini (pengurangan sebanyak RM25,632),” ujarnya.

Justeru, Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan berharap agar penduduk di situ bersyukur dengan keprihatinan pemimpin khasnya bekas Ketua Menteri yang kini Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dalam meringankan beban rakyat berpendapatan rendah.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan kejayaan kerajaan negeri membangunkan RMR di Bako dengan teratur dan tersusun telah menjadi contoh bagi negeri di Semenanjung Malaysia seperti Melaka dan Terengganu.

“Walaupun program RMR bermula di Semenanjung tetapi kita telah mengubah suainya seiring dengan keperluan rakyat serta lebih tersusun dan kini kita pula menjadi contoh kepada mereka,” jelasnya.

Selain itu jelasnya, kementerian pada tahun depan bercadang membangunkan 63 unit RMR dan 615 unit rumah mampu milik di Muara Tuang sebagai usaha membangun dan merealisasikan perkampungan moden dikenali sebagai Semenanjung Bako.

“Pembangunan Semenanjung Bako akan menemukan Bako dengan Muara Tuang sebagai perkampungan moden dalam masa 10 tahun.

“Maknanya inilah pembangunan jangka panjang yang kita ingin laksanakan di Semenanjung Bako yang sedikit sebanyak akan memberi ruang kepada masyarakat di bandar raya Kuching yang semakin bertambah,” jelasnya.

Dedahnya, jumlah penduduk di Samarahan dan Kuching masa ini ialah 850,000 orang dan tidak lama lagi menjangkau satu juta.

Justeru katanya, keadaan ini menyebabkan kerajaan akan meneruskan usaha membuat perancangan lebih terperinci membangunkan kawasan perumahan baharu dan kawasan lain yang dapat memberi manfaat kepada rakyat, bukan sahaja rumah tetapi menjana pekerjaan.

Terdahulu, pengerusi pengelola yang mewakili penduduk Taman Mesra Bako Dollah Harun mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dengan pengurangan bayaran berkenaan.

“Pengurangan bayaran ini amat besar maknanya kepada kami semua dan syukur tidak terhingga kami ucapakan,” jelasnya.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni, Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai dan Pengerusi HDC Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen.