Dibelasah tanpa belas

0

CEDERA:Mangsa yang diserang dan dihumban ke dalam parit, disorong ke wad untuk menerima rawatan.

Lelaki Indonesia dibelasah sehingga pengsan, sebelum dirompak dan dicampak ke dalam longkang di Pending, Kuching.

Oleh Sandy Mark Luna //

KUCHING: Seorang lelaki warga Indonesia dibelasah sehingga pengsan, sebelum dirompak dan dicampak ke dalam longkang di Pending, kelmarin.

Mangsa yang bekerja di sebuah kilang membuat ais, dalam perjalanan balik ke rumah sewa sekitar jam 1 pagi apabila didatangi kira-kira 10 lelaki.

Kumpulan itu dikatakan menyerang mangsa sehingga pengsan sebelum merampas beg duit mangsa yang mengandungi wang RM2,000 serta telefon bimbit.

Mangsa yang dicampakkan ke dalam longkang, hanya sedarkan diri pada siang semalam.

Dia berjaya naik semula ke atas jalan raya dan berjalan pulang ke rumah sebelum memaklumkan insiden itu kepada rakan serumah yang juga sekerja dengannya.

Majikan mangsa yang menerima maklumat mengenai insiden itu segera mengejarkan mangsa ke Hospital Umum Sarawak untuk menerima rawatan.

Laporan polis telah dibuat berhubung insiden tersebut.

Dalam kes berasingan, seorang lagi warganegara Indonesia cedera di bahagian leher setelah ditetak menggunakan senjata tajam di kediaman sewa di Batu 9,  Jalan Kuching-Serian, malam kelmarin (Sabtu).

Difahamkan mangsa berada di ruang tamu ketika kejadian, ketika dua lelaki yang merompak itu memecah masuk ke dalam rumah.

Dia dicederakan selepas cuba berhadapan dengan perompak tersebut.

Dua lagi rakan serumahnya yang berada di dalam bilik tidak mengalami sebarang kecederaan namun telefon bimbit mereka dirampas selepas diugut menggunakan senjata.

Mangsa dikejarkan ke HUS untuk menerima rawatan dan polis sedang menyiasat.