Kampung Tupong Batu kubu kuat BN

1

KUCHING: Rakyat terutama pengundi di Kampung Tupong Batu tidak akan beralih undi kepada pembangkang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Malah menurut Ketua Ranting PBB Kampung Tupong Batu Rasdi Johari, tiada sebab untuk mereka mengubah undi kepada parti lain selain BN.

“Jika ada antara anda yang berhasrat untuk mengubah undi kepada parti lain selain BN cuba fikirkan apa sumbangan pembangkang kepada kita di sini?

“Habuk pun tidak ada. Jadi selagi saya masih ketua ranting PBB Kampung Tupong Batu saya akan pastikan BN bukan sahaja akan menang malah meningkat dari segi undi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Khidmat Masyarakat sempena Retreat Pemuda BN 2014 di kampung berkenaan di sini semalam.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Pemuda PBB dan BN Negeri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya dan Menteri Kerja Raya.

Tambah Rasdi lagi, meskipun saiz dan jumlah penduduk di kampung itu adalah kecil namun Kampung Tupong Batu adalah kubu kuat BN.

Katanya dalam apa jua keadaan BN tetap yang terbaik bagi kampung ini dan akan terus memberi sokongan penuh kepada BN.

“Daripada segi undi meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran terutama daripada pihak pembangkang namun jumlah undi BN tetap meningkat setiap kali pilihan raya,” katanya.

Mengulas mengenai pemilihan kampung tersebut bagi program semalam, Rasdi berkata ia adalah satu penghormatan kepada penduduk di Kampung Tupong Batu .

Malah katanya kehadiran ahli-ahli Pemuda BN akan menyuntik semangat mereka untuk bekerja dengan lebih gigih demi kemenangan BN.

Dalam pada itu Kampung Tupong Batu adalah di bawah kerusi DUN Tupong  disandang oleh Datuk Daud Abdul Rahman dan kerusi Parlimen Petra Jaya di bawah Fadillah.