Kerajaan peruntuk setengah juta bangunkan dewan serba guna

0

SRI AMAN: Kerajaan memperuntuk RM500,000 bagi membina sebuah dewan serba guna pelbagai kaum  di kawasan Batu Lintang, Sri Aman nanti.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Francis Harden Hollis berkata, proses penyerahan tapak bagi membolehkan projek pembinaan dewan berkenaan akan dimulakan nanti.

“Dewan ini akan digunakan oleh penduduk kawasan Batu Lintang, Sri Aman bagi melaksana pelbagai aktiviti di sini.

“Jadi saya mohon rakyat di sini memberi kerjasama kepada kerajaan untuk membolehkan projek ini dilaksana dengan lancar,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika  merasmikan Majlis Merarau Bersama Pemimpin anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Lintang, Sri Aman baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Doris Sophia Brodie, Pembantu Khas Ahli Parlimen Sri Aman, Edmund Pirang, Guru Besar SK Batu Lintang, Leonard Libau Anol dan Yang Dipertua PIBG SK Batu Lintang Along Kang.

Harden berusaha membantu membina dewan sekolah di SK Batu Lintang di samping memperbaiki kuarters kediaman guru serta asrama rosak.

“Keselesaan hidup guru dan murid di SK Batu Lintang akan diutamakan,” katanya.

Pada majlis itu, Harden turut mengumumkan peruntukan RM5,000 kepada SK Batu Lintang bagi pembelian perkakas dan RM10,000 lagi untuk membina dewan untuk sekolah terbabit.

Harden juga menyerahkan cek peruntukan MRP berjumlah RM180,000 kepada sebuah persatuan, tiga PIBG, dua gereja dan 20 JKKK di sini.