Pengertian,pemahaman Perjanjian Malaysia 1963 fokus Pemuda BN

2

KUCHING: Pengertian dan pemahaman Perjanjian Malaysia 1963 menjadi fokus Pemuda Barisan Nasional (BN) agar tiada pihak cuba memanipulasikannya khususnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi Pemuda BN Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata untuk itu sayap pemuda akan komited menegakkan Perjanjian Malaysia 1963 dengan melengkapkan semua anggotanya tentang pemahaman penuh berhubung perjanjian itu.

“Perjanjian ini kita fokuskan bagi menangkis cubaan pihak yang cuba menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat Sabah dan Sarawak.

“Kami komited kepada perjanjian yang dibuat semasa penubuhan Malaysia yang mana Malaysia ini ditubuhkan oleh Semenanjung (Tanah Melayu), Sabah dan Sarawak bukannya Sabah dan Sarawak yang menyertai Malaysia,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Pemukiman Pemuda BN di sini kelmarin.

Menurut Khairy perkara berkenaan juga terkandung dalam resolusi yang dibincangkan dalam program itu yang kemudiannya akan dikemukakan kepada pucuk pimpinan tertinggi BN.

“Kita tahu sebab itu kita akan menegakkan segala perjanjian dan segala persetujuan di bawah tema gagasan Malaysia ini,” tegasnya.

Khairy berkata semua anggota Pemuda BN yang menghadiri program itu turut menyatakan komitmen untuk menentang habis-habisan usaha ‘kumpulan pemisah’ di antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Beliau menegaskan bahawa Pemuda BN juga akan meminta kerajaan persekutuan meminda peraturan supaya kategori Bumiputera Sabah dan Sarawak dimasukkan dalam borang-borang rasmi menggantikan pilihan ‘dan lain-lain’ atas dasar untukmengukuhkan lagi perpaduan antara kaum di negara ini.

Hadir sama pada sidang media itu kelmarin Ketua Pemuda BN Datuk Seri Fadillah Yusof dan barisan kepimpinan pemuda parti lain.