Rakyat digesa tidak terpengaruh politik tidak beretika gugat kesejahteraan

0

SIMUNJAN: Rakyat digesa untuk tidak mudah terpengaruh dengan politik tidak beretika yang dimainkan oleh pihak luar untuk mengganggu gugat kesejahteraan negeri ini.

Perkara itu ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri yang menyeru agar pemimpin-pemimpin agama di negeri ini menggunakan saluran agama bagi melawan setiap serangan yang dibangkitkan kerana semua agama mempunyai nilai moral.

Beliau menjelaskan bahawa nilai-nilai itu ialah untuk saling menghormati antara satu sama lain dan setiap agama menggesa umatnya untuk berbaik sesama manusia.

“Pada masa ini, kita berdepan dengan cabaran perpaduan yang getir yang sengaja ditimbulkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dengan menggunakan sentimen keagamaan untuk tujuan memecahbelahkan rakyat.

“Sarawak juga tidak terkecuali berdepan dengan cabaran perpaduan ini, provokasi demi provokasi menggunakan sentimen perkauman dan keagamaan menjadi peluru oleh pihak-pihak yang mempunyai agenda jahat untuk kepentingan mereka, sebab itu kita harus mempertahankan keharmonian ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perpisahan Timbalan Paderi Reverend Albert Ajong Mail di sini malam kelmarin.

“Dalam membuat percaturan itu, mereka secara senyap menyerang benteng pertahanan kita menerusi perpaduan dan ‘perundangan’ agar kerajaan dilihat lemah dalam mengendalikan kedua-dua isu-isu ini.

“Maka, marilah kita bersama-sama menentang sehabis-habisan golongan yang cuba merampas keharmonian yang selama ini telah kita pelihara sebaiknya di Sarawak,” tambahnya.

Mengenai Reverend Albert, beliau telah bertugas di daerah Simunjan bermula Februari 2011.

Beliau banyak membantu Reverend Elebis dalam menjalankan tugas sebagai timbalan paderi.

“Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan yang telah beliau curahkan kepada penduduk di kawasan ini tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

Justeru, beliau berharap rakyat terus mempertahankan semangat perpaduan di Sarawak kerana ia sudah menjadi tanggungjawab semua lapisan rakyat.