Rakyat harus fahami isu tanah NCR: Alexander

2

KANOWIT: Rakyat diminta memahami isu-isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) bagi mengelak diri mereka mudah dihasut segelintir individu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Alexander Vincent berkata segelintir individu sering menggunakan isu tersebut untuk tujuan kepentingan peribadi mereka.

“Jika kita faham isu-isu NCR dengan lebih mendalam, maka kita tidak mudah terpengaruh dengan dakwah serta hasutan golongan terbabit.

“Jangan dengar cakap-cakap golongan terbabit kerana mereka sebenarnya mempunyai agenda sendiri,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Basil Ujang, Sungai Pedai di sini kelmarin.

Hadir sama Setiausaha Politik Ketua Menteri Maurice Giri, Pegawai Daerah Kanowit Katis Noel Nyabong, Pegawai Penerangan Daerah Kanowit Wan Mohd Zuki Wan Ismail serta ketua-ketua masyarakat.

Terdahulu, Alexander merasmikan projek jalan simen di Rumah Basil yang menelan kos RM80,000.

Beliau berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa komited memberi tumpuan kepada kawasan luar bandar bagi keseimbangan pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, selain aspek pembangunan kerajaan turut mencari jalan membantu meningkatkan pendapatan rakyat melalui pelbagai cara seperti bidang pertanian, perladangan dan sebagainya.

“Membangunkan tanah-tanah penduduk juga adalah salah satu usaha kerajaan membantu memberi pendapatan kepada rakyat.

“Justeru, kerajaan memperkenal pelbagai skim dan bantuan melibatkan tanah penduduk yang harus dimanfaatkan rakyat kerana ia merupakan peluang terbaik,” tegasnya.

Sementara itu, kawasan Sungai Pedai menerima pelbagai projek pembangunan kerajaan seperti jalan raya, air dan bekalan elektrik.

“Begitu juga penyaluran geran projek kecil luar bandar (MRP) kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah-rumah panjang di kawasan ini.

“Pengagihan MRP adalah usaha kerajaan membantu dari segi kewangan kepada rakyat,” katanya.

Pada majlis itu, Alexander menyumbang MRP sejumlah RM10,000 kepada JKKK Rumah Basil manakala RM3,000 untuk Biro Wanita rumah panjang tersebut.