UPP intai sebanyak mungkin kerusi: Wong

0

Parti meyakinkan Barisan Nasional bahawa mereka memiliki calon-calon boleh menang

Oleh Clare Cinderella //

MIRI: Parti yang baharu ditubuhkan, Parti Rakyat Bersatu (UPP) mengintai sebanyak mungkin kerusi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, dengan meyakinkan Barisan Nasional (BN) bahawa mereka memiliki calon-calon boleh menang.

Presidennya Dato Sri Wong Soon Koh berkata, BN pastinya mahu menang lebih banyak kerusi pada PRN akan datang, termasuk di kerusi-kerusi baharu dan beliau memberi jaminan UPP akan membantu BN menang besar.

“Biar calon yang boleh menang bertanding untuk memenangi kerusi-kerusi pada pilihan raya kelak dan untuk apa kita memberi kerusi kepada calon daripada parti yang diketahui tidak boleh menang (daripada rekod yang berlaku),” katanya.

“Jika diberi peluang, UPP amat berbesar hati untuk ‘mengisi’ kerusi-kerusi ini dan kami mahu meletakkan calon di sebanyak mungkin yang boleh di kerusi-kerusi yang diyakini boleh dimenangi,” tambahnya.

Sambil memberi jaminan bahawa UPP mempunyai ramai calon boleh menang bagi mengisi kerusi-kerusi dan menggantikan calon ‘tidak boleh menang’ daripada parti tertentu, Wong berkata beliau bagaimanapun menyerahkan kepada pucuk pimpinan BN untuk menentukan calon yang layak bertanding.

“Saya yakin pucuk pimpinan BN juga menyedari bahawa BN perlu menang dan mereka pastinya dapat ‘melihat’ siapakah calon yang diyakini boleh menang itu dan daripada parti mana.

“Biarlah pemimpin BN sendiri yang memilih siapakah calon yang boleh menang itu (dan daripada parti mana),” jelas beliau lagi kepada pemberita di sini, semasa ditemui selepas menghadiri majlis angkat sumpah ahli jawatankuasa rasmi yang pertama bagi UPP cawangan Piasau, Pujut, Senadin dan Bekenu di sini, semalam.

Wong yang juga Menteri Kewangan Kedua merangkap Menteri Kerajaan Tempatan, diminta mengulas ucapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa, pada majlis yang sama, yang memberitahu bahawa dua daripada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Miri perlu diberikan kepada UPP kelak.

Ini kerana menurut Dr Rayong, UPP di Miri mempunyai calon-calon berpotensi dan boleh menang serta diyakini mampu merampas kembali kerusi yang dimenangi pembangkang sebelum ini serta memberi kemenangan mutlak kepada BN kelak.

Rayong bagaimanapun tidak menamakan dua kerusi berpotensi tersebut, namun membayangkan ia mungkin kerusi Pujut dan Piasau, yang pernah jatuh ke tangan DAP pada PRN sebelum ini.

Ketika mengulas ucapan Dr Rayong itu juga, Wong yang menyokong kenyataan tersebut berkata bukan sahaja dua kerusi, malah jika diberi peluang, UPP mungkin boleh meletakkan calon boleh menangnya di keempat-empat kerusi tersebut.

Pada PRN, parti pecahan UPP iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) diperuntukkan 19 kerusi dan daripada jumlah itu, SUPP tewas 13 kerusi kepada pembangkang.

Manakala enam kerusi yang dimenangi SUPP ketika itu, empat daripadanya kini menjadi wakil rakyat UPP iaitu Bawang Assan yang diwakili Wong sendiri; Engkilili (Dr Rayong); Opar (Ranum Mina) dan Bengoh (Datuk Dr Jerip Susil), manakala dua yang masih kekal dimiliki wakil rakyat SUPP ialah Senadin (Datuk Lee Kim Shin) dan Simanggang (Datuk Francis Harden Hollis).