UPP jamin fokus kebajikan rakyat

0

MIRI: Kebajikan rakyat khasnya dalam kalangan golongan yang memerlukan antara agenda penting yang diperjuang oleh Parti Rakyat Bersatu (UPP).

Pengerusi UPP Cawangan Piasau Datuk Hii King Chiong berkata kesusahan rakyat akan disuara kepada kerajaan supaya bantuan dapat disalur bagi meringankan beban hidup rakyat.

“Isu paling penting kini ialah masalah dan kesusahan rakyat. Rakyat yang menderita akan mendapat perhatian kita supaya bantuan dapat dikemuka kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) julung kali UPP Miri di Eastwood Valley Golf and Country Club semalam.

Hii berkata antara objektif utama beliau menubuhkan Pusat Khidmat Hii King Chiong adalah untuk membantu golongan masyarakat memerlukan.

“Kini saya berazam melipatgandakan usaha perjuangan demi rakyat menerusi platform yang lebih berkesan,” tegasnya.

Beliau juga menggesa rakyat pelbagai kaum di negeri ini supaya memperkukuh perpaduan sebagai keluarga besar yang mengamal semangat 1Malaysia.

Selain kerjasama, rakyat harus berjuang demi memperoleh keadilan, hak dan kepentingan rakyat Sarawak.

AGM semalam melantik ahli jawatankuasa empat cawangan UPP di sini iaitu cawangan Piasau yang dipengerusi oleh Hii, cawangan Pujut dipengerusikan oleh Kaunselor Bruce Chai, cawangan Senadin dipengerusikan oleh Kaunselor Keith Chin dan cawangan Bekenu dipengerusikan oleh Penghulu Haw Min Wai.

Majlis pelantikan, angkat sumpah dan ikrar parti oleh ahli setiap cawangan disaksikan oleh Presiden UPP Dato Sri Wong Soon Koh yang juga merupakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti.

Bruce berkata penubuhan UPP akan merapatkan hubungan dan penyatuan antara rakyat dan kerajaan.

“Penubuhan UPP membuktikan bahawa penyatuan rakyat dapat dilakukan. Kita telah mencapainya,” tegas beliau.

Keith memberitahu, pembabitan penduduk dalam parti itu merupakan satu permulaan baharu dalam mentransformasikan  bandar raya Miri.

Beliau berterima kasih atas sokongan dan kepercayaan penduduk Miri terhadap penubuhan UPP di sini.

Penghulu Haw berkata kerjasama semua ahli penting untuk memperkuatkan jentera parti untuk menabur khidmat bakti kepada rakyat.

Haw juga meminta agar lebih ramai Bumiputera menyertai UPP kerana ia adalah parti untuk semua kaum.