Waris guna bantuan kebajikan mesti bayar balik kepada kerajaan

1

KUCHING: Waris atau ahli keluarga yang menggunakan bantuan kebajikan penerima yang sudah meninggal dunia tidak akan terlepas daripada membayar balik wang tersebut kepada kerajaan.

Justeru, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim mengingatkan kepada pihak berkenaan agar melaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhubung kematian penerima.

“Kalau penerima sudah meninggal dunia, waris haruslah melaporkan kepada JKM.

“Ini bagi mengelakkan JKM daripada terus menyalurkan bantuan kepada penerima yang sudah mati,” katanya sambil menambah bahawa laporan boleh dibuat di mana-mana pejabat JKM di seluruh negara.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Keusahawanan Wanita 2014 di sini, semalam.

Menurut Rohani, kes sedemikian telah berlaku secara meluas terutama di Semenanjung Malaysia disebabkan waris yang tidak melaporkan tentang kematian penerima kepada JKM.

“Jangan ingat pembayaran ini cuma bayaran biasa. Apabila dikesan, waris dikehendaki membayar balik jumlah pembayaran tersebut di mana daripada semua kes dilaporkan, cuma satu kes belum bayar,” katanya.

Sementara itu, Rohani memuji mekanisme yang diguna pakai oleh JKM Sarawak di mana penerima bantuan kebajikan dikehendaki melapor diri bagi setiap tempoh enam bulan.

“Jika penerima tidak melapor diri maka pembayaran bantuan akan dibekukan tetapi tidak bermakna ia dihentikan, cuma kami perlu mengesan penerima sama ada masih hidup atau tidak… jika masih hidup maka kami akan memberi semula,” katanya.

Dalam pada itu, Rohani berkata kementeriannya juga akan mengesan penerima yang sudah meninggal dunia menggunakan sistem Agency Link-Up System (ALIS) di bawah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Menerusi sistem ALIS JPN, senarai orang yang meninggal dunia akan diberi kepada JKM untuk semakan dan jika ia melibatkan penerima bantuan kebajikan, maka kami akan menghentikan bantuan.

“Saya yakin kaedah ini akan berkesan kerana dokumen daripada JPN adalah sahih,” katanya.