Corbusier pertahan kejuaraan

0

KUCHING: Corbusier mempertahankan mahkota kejuaraan Cabaran Jalan Raya Kesihatan Sarawak selepas memenangi kategori terbuka dalam perlumbaan di sini Ahad lalu.

Pelumba handalannya dari Kalimantan, Fito Prilanji unggul di hadapan selepas mengharungi perlumbaan sejauh 114 kilometer.

Fito berkata, perlumbaan berlangsung dalam permukaan jalan raya yang basah dan sedikit menyukarkan kayuhan.

“Momentum perlumbaan saya pada permulaannya agak baik, namun terpaksa diperlahankan kerana permukaan jalan raya yang licin,” katanya.

Kelompok belakang Fito terdiri rakan sepasukannya yang juga penyandang juara, Laurel Lauridsen Adrian, lima pelumba Terengganu, Suhardi Hassan dari Giant dan pelumba Proucel.

Sementara itu, Suhardi menjelaskan pelumbaan agak mencabar biarpun pada permulaannya beliau hampir berjaya berlumba secara solo.

“Saya cuba menjarakkan kedudukan namun agak sukar kerana pelumba-pelumba lain amat bagus,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tetap berpuas hati berada pada kedudukan ketiga.

Sementara itu, pengurus Corbusier Safri Mohammed melahirkan kegembiraan dengan pencapaian para pelumbanya.