Gelaran Raja Sungai Lawas milik PKL

0

LAWAS: Pasukan Putera Kuala Lawas (PKL) melakar kejayaan membanggakan apabila dinobatkan Raja Sungai Lawas sempena Pesta Lawas kelmarin sekali gus mengulangi kecemerlangan selepas bergelar Raja Sungai Brunei sempena Regata Brunei awal tahun ini.

Selain membawa pulang Piala Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, pasukan itu menerima wang tunai RM10,000 manakala tempat kedua dimenangi Landas dan ketiga Citra Alti.

Hadiah pemenang Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Turut sama isteri Adenan, Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, isteri Awang Tengah  Datuk Dayang Morliah Awang Daud serta kenamaan lain.

Selain acara 30 pekayuh akhir, PKL turut mendominasi beberapa acara lain bagi kategori 25 pekayuh dan acara khas Piala Ketua Menteri (30 pekayuh).

Ketua Kontinjen PKL, Awang Damit Ali Hasan berkata sasaran bergelar juara tercapai gabungan mantap pekayuh tempatan dan luar.

Katanya, kemenangan itu hasil semangat tinggi, perpaduan, kerjasaman dan disiplin yang ditunjukkan anak-anak buahnya meletakkan nama PKL di mercu kejayaan.

Selain teknik kayuhan ‘ala-ala’ Indonesia diperkenalkan musim ini, hasil bimbingan dan latihan jurulatih berpengalaman dari negara jiran juga faktor utama kejayaan mereka.

“Setelah kecundang dua tahun lalu, kami berusaha sebaik mungkin untuk mengapai misi merampas Piala Awang Tengah Ali Hasan selepas berlatih dua bulan lalu.

“Kami akan mempertahan kejayaan ini pada regata Pesta Limbang musim depan,” katanya di sini semalam.

Sebanyak 108 penyertaan edisi kali ini melibatkan 10 kategori dari Sarawak dan negara Brunei Darussalam.