Kompleks Penyayang pertama di Sri Aman

0

SRI AMAN: Kompleks Penyayang yang pertama di Malaysia akan diwujudkan di Sri Aman tidak lama lagi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata bangunan menempatkan kompleks itu telah dibina di Taman Srijaya di sini.

Menurut Rohani, kementeriannya mengadakan perbincangan dengan pemaju bangunan berkenaan untuk membeli bangunan tersebut bagi mewujudkan kompleks itu nanti.

“Kompleks itu akan menempatkan Pejabat Kebajikan Masyarakat, Pusat Asuhan Kanak-Kanak (TASKAS), Pusat Warga Emas (PAWE), Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK), bilik mesyuarat serta agensi-agensi berkaitan,” katanya ketika ditemui pada Program Malam Keluarga anjuran Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) Parlimen Batang Lupar di sini malam kelmarin.

Katanya, semua agensi akan berpindah ke kompleks itu dan memudahkan rakyat berurusan dengan pelbagai agensi kebajikan.

Kompleks itu juga akan diwujudkan Anjung Kasih bagi memberi peluang kepada rakyat jika ada saudara mara dimasukkan wad di hospital, mereka boleh menumpang sementara sebagai tempat persinggahan.

“Sekiranya bersesuaian, kita mewujudkan kemudahan ini kepada rakyat di sini, jika kompleks ini tidak berjauhan dari hospital dan kompleks ini berkonsepkan UCT dan yang pertama di Malaysia,” jelasnya.

Tambahnya, kompleks itu akan menjadi perintis kepada kompleks lain yang akan diwujudkan di seluruh negara.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri, Pegawai Tadbir Pejabat Residen Sri Aman Noorhayati Ahmad, Pengawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman Awangku Mohd Najib Pengiran Mohamad, Pengerusi MPWK Batang Lupar Zuraida Julai, Pemanca Mas Shamsiah Maslem dan Penghulu Abdul Samad Abdul Rahim.